Desak PM undur sebelum tamat penggal amalan demokrasi

Desak PM undur sebelum tamat penggal amalan demokrasi

Rakyat mempunyai hak untuk menilai dan mengkritik pencapaian Perdana Menteri termasuklah menyingkirkannya melalui jalan yang aman dan mengikut lunas undang-undang.

mahathir_najib_600
PETALING JAYA: Perdana Menteri boleh diundurkan dalam sebuah negara demokrasi meskipun penggalnya belum berakhir, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pemimpin yang diundi disingkir dan diundurkan daripada jawatannya atas pelbagai sebab di negara demokrasi seluruh dunia.

“Adalah hakikat bahawa Perdana Menteri yang diundi tidak semestinya tidak boleh diundurkan sebelum penggalnya berakhir,” kata bekas Perdana Menteri itu menerusi tulisan terbaru diblognya hari ini.

Beliau juga menegaskan, rakyat sebagai warga mempunyai hak untuk menilai dan mengkritik pencapaian Perdana Menteri termasuklah menyingkirkan ketua kerajaan itu melalui jalan yang aman dan mengikut lunas undang-undang.

Mengulas lanjut Dr Mahathir mengambil contoh Perdana Menteri sebelumnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meletakkan jawatan pada 2009, antaranya ekoran desakan daripada UMNO sendiri.

Berhubung soal itu, beliau berkata, amalan Timbalan Perdana Menteri menggantikan Perdana Menteri yang berundur hanyalah tradisi, dan tidak termaktub dalam undang-undang.

“Beliau (Pak Lah) letak jawatan pada 2009 dan Najib selaku TPM mengambil alih. Ini adalah kerana tradisi, bukan atas peruntukan undang-undang khusus,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang turut mengulas mengenai Deklarasi Rakyat berkata, antara kecaman utama terhadap deklarasi itu oleh pihak pro-UMNO sebelum ini adalah mereka tidak mahu Datuk Seri Najib Razak disingkirkan sebagai Perdana Menteri, kerana berpendapat ia bertentangan dengan Perlembagaan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.