Norsiah Mohamed, 66, berkata keluarganya telah mengeluarkan banyak komen tentang kes kematian anaknya, Aminulrashid dan kini menyerahkan kepada Allah untuk memberi kemenangan kepada mereka sekeluarga.
“Saya berdoa kebenaran akan datang juga. Saya dah banyak komen. Kita ingat Allah, Allah ingat kita,” katanya ringkas kepada pemberita di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan 24 Mac ini sebagai tarikh pendengaran baru kes berkenaan.
Peguam Latheefa Koya memakluman tarikh baru itu disebabkan terdapat beberapa soalan yang timbul yang perlu diperjelaskan kepada hakim.
Aminulrasyid yang berusia 14 tahun ketika kejadian, meninggal dunia pada 26 April 2010 akibat ditembak polis sewaktu keluar makan malam bersama kawannya pada hari kejadian.
Seorang anggota polis, Koperal Jenain Subi didakwa di Mahkamah Sesyen pada Mei 2010 namun beliau dibebaskan dan keputusan sama dikekalkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Susulan itu, Norsiah dan anaknya yang juga kakak mangsa, Nor Azura, memfailkan saman terhadap kerajaan dan menuntut ganti rugi hampir RM50 juta kerana cuai.