Pelajar M’sia sertai Persidangan Model Sekolah Tinggi PBB

Pelajar M’sia sertai Persidangan Model Sekolah Tinggi PBB

Model itu mengajar peserta untuk berperanan sebagai perwakilan PBB yang sebenar dan terbabit dalam rundingan pelbagai hala.

NHSM_pelajar_600

NEW YORK:
Lima pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar di Melaka, Malaysia, dengan diiringi guru mereka, mengambil bahagian dalam persidangan berprofil tinggi Persidangan Model Sekolah Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (NHSM) 2016 in New York.

Tiga pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan itu dipercayai menjadi kumpulan pertama dari Malaysia menyertai persidangan anjuran Persatuan Model Antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bersatu (IMUNA).

Walaupun pelajar Tingkatan Lima berkenaan disifatkan oleh masyarakat Malaysia sebagai “pelajar pintar sains”, mereka juga menunjukkan minat mendalam terhadap subjek lain di luar lingkungan sains tulen.

“Kami mendapat maklum balas dan maklumat tentang rundingan diplomasi dan hubungan dua hala dan hubungan pelbagai hala. Penyertaan pada persidangan ini bagus untuk kerjaya saya pada masa depan, selain tampak mengagumkan dalam resume saya nanti,” kata Ahmad Arman AlHuzaifi Sakir Husein, 17, semasa ditemu bual Bernama di New York baru-baru ini.

“Saya bercita-cita menjadi peguam, dan interaksi dengan peserta antarabangsa dalam acara ini, tidak dinafikan, akan membolehkan saya memahami orang lain dan batasan mereka dalam melakukan rundingan,” katanya.

Dania Kamal Aryf pula berkata walaupun beliau amat berminat dalam mata pelajaran sains tetapi pada masa sama turut berminat dalam hal ehwal antarabangsa, ekonomi dan “subjek praktikal” lain.

Amat gemar membaca, pelajar itu berkata beliau merupakan seorang daripada anggota pasukan debat sekolahnya.

“Ya, saya amat berminat dengan debat. Selepas tamat belajar, saya mahu melanjutkan pelajaran dalam PPE iaitu politik, falsafah dan ekonomi. Walaupun saya berada dalam kelas sains, saya berminat melanjutkan pelajaran dalam hal ehwal antarabangsa dan kemungkinan besar menceburi kerjaya dalam perkhidmatan diplomatik atau malah politik.

“Contohnya, saya melakukan penyelidikan tentang kumpulan ekstremis Boko Haram di Nigeria dan kami bertukar-tukar pendapat tentang bagaimana untuk memerangi kumpulan ini,” katanya.

Namun, “cabaran sebenar” bagi pelajar berkenaan adalah apabila menerima lawatan Wakil Tetap Amerika Syarikat di PBB Samantha Powers serta pegawai tinggi daripada UNESCO.

Model Pertubuhan Bangsa Bersatu atau lebih dikenali MUN – mengajar peserta untuk berperanan sebagai perwakilan PBB yang sebenar dan terbabit dalam rundingan pelbagai hala.

Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah, Timbalan Wakil Tetap Malaysia di PBB, yang menganjurkan majlis makan malam bagi meraikan pelajar Malaysia berkenaan di kediamannya, memberitahu Bernama: “Ini merupakan persidangan model sekolah tinggi PBB yang terbesar di dunia, dengan lebih 40 negara mengambil bahagian.

“Saya percaya tahun ini, buat pertama kali dalam sejarah persidangan, pelajar dari sekolah awam Malaysia mengambil bahagian dalam persidangan. Lima pelajar MRSM Melaka itu dianggap antara yang paling cerdas.”

Pelajar berkenaan pulang ke Malaysia hari ini.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.