Mereka diraikan dalam satu majlis minum petang sempena Tahun Baru Cina anjuran Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) dan YTL Corporation Berhad, di Hotel JW Marriott.
Sambil beramah mesra dari meja ke meja, Rosmah yang merupakan Yang Dipertua BAKTI turut mengagihkan ang pow kepada hadirin, serta menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada setiap rumah kebajikan.
Hadirin ternyata gembira dapat bertemu dengan isteri Perdana Menteri itu, dan ada yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersamanya.
Bagi Ketua Bahagian Kebajikan BAKTI, Toh Puan Dr Aishah Ong, program tahunan ini sudah menjadi tradisi BAKTI setiap kali menjelang Tahun Baru Cina.
“Sambutan ini sudah bermula sejak 25 tahun lalu, untuk meraikan Tahun Baru Cina bersama mereka (penghuni rumah kebajikan).
“Kami dari BAKTI mengelolakan majlis ini bagi pihak Datin Seri selaku tuan rumah.Memandangkan beliau di luar negeri (ketika Tahun Baru Cina), kita lambatkan sedikit (sambutan),” katanya kepada FMT.
Menurutnya, wang sumbangan dan kos pengangkutan membawa hadirin ditanggung oleh BAKTI, manakala YTL menyediakan tempat dan makanan.
Ketika menjamu selera, hadirin dihiburkan dengan persembahan muzik dan tarian oleh pelajar SMK Jinjang dan PERMATA Seni.
Antara rumah kebajikan yang diundang adalah Rumah Victory Youth Centre, Rumah Orang-orang Tua Seri Setia, Chempaka Bhuddist Lodge dan Kompleks Penyayang Bakti.

