Jangan tafsir sendiri hal agama – Tuanku Abdul Halim

Jangan tafsir sendiri hal agama – Tuanku Abdul Halim

Yang di-Pertuan Agong turut gesa institusi Mahkamah Syariah diperkasa agar undang-undang Islam dapat dilaksanakan dengan lebih baik

agong-agama
KUALA LUMPUR: Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah memberi peringatan tegas supaya tidak membuat tafsiran sendiri dalam hal berkaitan agama Islam.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, ingatan itu ditujukan kepada rakyat Malaysia kerana perkara sedemikian boleh mencetuskan konflik tidak diingini.

“Perkara agama perlu dirujuk kepada pihak yang bertanggungjawab dan tidak ditafsir oleh mana-mana individu atau kumpulan, kerana ia boleh mencetuskan pergeseran dan kekeliruan yang tidak perlu dalam masyarakat,” titahnya.

Baginda bertitah ketika menyampaikan ucapan perasmian pembukaan Parlimen ke-13 di sini, hari ini.

Feb tahun lalu, PAS membentangkan pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan yang mencetuskan perdebatan sehingga menyebabkan perpecahan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Tuanku Abdul Halim menggesa institusi Mahkamah Syariah diperkasa agar undang-undang Islam dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Baginda menyatakan sokongan penuhnya terhadap usaha untuk menegakkan Islam sebagai agama Persekutuan, sambil menekankan agama-agama lain dapat diamalkan secara bebas dan aman.

“Beta menyokong penuh semua usaha untuk menegakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa sama agama-agama lain dapat diamalkan dengan bebas dan aman di negara ini.

“Beta harap usaha akan dilaksanakan untuk mengukuhkan institusi agama dan untuk menambahbaik pentadbiran undang-undang Islam, dengan memperkasa mahkamah Syariah,” titahnya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.