Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Baharom memberi amaran itu susulan cadangan pihak-pihak tertentu yang mahu mengadakan perhimpunan mendesak Perdana Menteri berundur yang dijadual berlangsung pada 27 Mac ini.
Ia dikatakan akan turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pemimpin pembangkang.
“Rusuhan tetap akan berlaku, jika dua pihak bertembung, kita biasanya tidak akan melakukan perkara yang salah disisi undang-undang, tetapi kalau mereka (kumpulan anti-Najib) memijak, ludah gambar Perdana Menteri dan pemimpin Melayu disitulah kita akan bangkit,” katanya kepada FMT.
Tidak cukup dengan amaran itu, Ali Tinju menegaskan, akan mengerahkan 200 ribu ahli kumpulan Gerakan Merah untuk turun pada hari berkenaan bagi mempertahankan Perdana Menteri yang dipilih rakyat secara sah.
“Saya akan kerah semua anggota bekas tentera dan anggota Gerakan Merah untuk turun dan saya yakin dan percaya jumlah kita lebih ramai daripada mereka (kumpulan anti-Najib).Anggaran 100 hingga 200 ribu kita akan kerah seperti yang berlaku pada 16 September tempoh hari.
“Kami perlu mempertahankan kerajaan yang sah, kami tidak teragak-agak untuk berhadapan dengan gerakan-gerakan jahat untuk menjatuhkan kerajaan yang sah ketika ini.
“Jika mereka bertindak dahulu, Kita (Gerakan Merah) akan bertindak dan akhirnya akan menjadi sesuatu perhimpunan agak tegang dan panas pada hari tersebut, sebab kita berhak mempertahan dan membantah,” tegasnya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebelum ini dilapor menyarankan satu perhimpunan diadakan pada 27 Mac ini bagi mendesak Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Malah, cadangan itu turut disambut baik Gabungan Ketua Cawangan UMNO Malaysia (GKCM) yang menjelaskan akan turut serta dalam perhimpunan berkenaan.
“Kami juga mendesak Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan menangkap dan mendakwa kumpulan kecil ini yang memulakan tindakan menghasut (mendesak Perdana Menteri letak jawatan),” katanya.
