Menurut baginda, isu politik sempit ini telah berlarutan sejak sekian lama sehingga meletihkan rakyat dan juga kerajaan.
“Beta berharap semua ahli yang berhormat berhentilah berpolitik untuk kepentingan sempit kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama di mana ia meletihkan rakyat dan kerajaan,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan titah bagi merasmikan pembukaan Parlimen ke-13, hari ini.
Tambah baginda, rakyat dan pemimpin harus meraikan demokrasi tanpa menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah yang boleh menjerumus negara kepada kehancuran.
“Elakkan juga daripada memburuk-burukkan negara di mata masyarakat antarabangsa,” titah baginda.
Baginda turut mahu integriti dan urus tadbir dalam menjayakan semua perancangan dan dasar negara dipertingkat dan sekiranya isu itu dapat ditangani dengan efektif, ia akan dapat menggelakkan persepsi negatif berkaitan rasuah, penyelewengan dan juga salah guna kuasa.
“Beta yakin ini akan dapat menangani persepsi negatif rakyat berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” titah baginda.
Dalam pada itu, ahli Parlimen juga diminta memberikan contoh teladan yang baik buat rakyat dengan mengadakan komunikasi dua hala bersama rakyat.
“Berikanlah contoh teladan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara yang berterusan,” titahnya.
Tuanku Abdul Halim dalam titahnya menyeru ahli Parlimen yang dilantik oleh rakyat sentiasa menumpahkan taat setia kepada negara tanpa berbelah bahagi.
“Beta menyeru ahli-ahli yang berhormat dan rakyat keseluruhannya supaya bersatu serta sayangilah negara ini dengan sentiasa menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi, mempertahan dan melindunginya,” tegas baginda.