Pengerusi PAC, Datuk Hasan Ariffin dalam satu kenyataan yang dipetik dari sebuah laman portal berkata, tindakan itu dilakukan selepas Laporan Interim 1MDB yang dibentangkan kepada PAC Julai lalu dibocorkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan laporan negatif sehingga menjejaskan kredibiliti Jabatan Audit Negara (JAN).
Beliau berkata, pihaknya akur dan memahami keperluan serta tindakan yang diambil JAN kerana Ketua Audit Negara mempunyai kuasa perundangan untuk berbuat demikian.
“Sebagai sebuah jawatankuasa ditubuhkan di bawah Parlimen Malaysia menjadi keperluan untuk wujudnya pematuhan dan akauntabiliti serta menghormati peruntukan undang-undang yang turut digubal institusi yang sama,” katanya.
PAC yang menerima laporan akhir itu akan meneliti laporan akhir tersebut bersama dengan 10 prosiding yang diadakan bagi melengkapkan Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB sebelum dibentangkan ke Dewan Rakyat nanti.
Rakyat tidak perlu bimbang dan harus yakin dengan syor serta rumusan laporan itu kerana ia dibuat oleh ahli-ahli PAC yang terdiri daripada parti Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
Tambah beliau, laporan itu perlu dibentangkan di Dewan Rakyat dan ia terpulang kepada Ketua Audit Negara untuk membuat keputusan sama ada perlu untuk membatalkan arahan dokumen rahsia rasmi ke atas laporan Ketua Audit Negara terhadap Pengauditan 1MDB.
