
Ketua Eksekutif Shamir Aziz berkata langkah itu mencerminkan komitmen organisasi untuk meningkatkan standard tadbir urus serta memastikan sumber pembangunan tenaga kerja negara diuruskan secara telus, cekap dan bertanggungjawab.
Menurutnya, penggantungan tugas berkenaan adalah prosedur bagi memelihara kebebasan semakan dalaman yang sedang dijalankan dan tidak bermaksud sebarang kesalahan telah dibuktikan.
“Kami sedang memperkukuh sistem dalaman bagi memastikan HRD Corp dapat terus memenuhi jangkaan tersebut secara konsisten,” katanya dalam kenyataan.
Pada 6 Feb lalu, HRDC Corp menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertinggi susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tindakan diambil berdasarkan penemuan dan syor berkaitan pengurusan ‘levi tidak digunakan’, pemerolehan Menara Ikhlas serta pengurusan pelaburan ekuitinya.
Agensi itu turut menjelaskan ia juga merangkumi penemuan terkini berhubung Sistem Teras Baharu (New Core System – NCS) bernilai RM14 juta yang tertangguh lebih empat tahun selepas tiga kegagalan Ujian Penerimaan Pengguna (UAT).