
Baginda berkenan menyumbangkan mesin tersebut selepas mengetahui hospital berkenaan menggunakan mesin seperti itu yang digunakan secara aktif sejak 2004 walaupun ia telah diperoleh pada 1998.
Hasrat baginda yang mahu menyumbangkan mesin berkenaan adalah selepas menyelami penderitaan yang dialami oleh seorang pelajar universiti awam yang menghidap kanser dan mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Menulis di Facebook rasminya hari ini, isteri baginda, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah menceritakan, pelajar tersebut yang enggan lagi menjalani pembedahan akibat penyakit yang dialami itu memilih untuk menjalani radioterapi namun, telah diberitahu oleh pihak hospital bahawa mesin CT-Simulator itu telah rosak dan perlu diperbaiki.
“Kami tahu bagaimana rasanya mempunyai seorang anak yang menderita daripada kanser, dan kami tahu dan memahami kedukaan serta kebimbangan yang dirasai oleh ibu bapa lain.
“Kami telah hilang anak lelaki kami, dan kami tidak mahu ibu bapa lain merasai penderitaan yang telah kami lalui, serta kesedihan yang kami rasakan sekarang dan perlu kami tanggung sepanjang hayat kami,” titah Tuanku Permaisuri.
Titahnya lagi, Almarhum anaknya, Tunku Abdul Jalil yang merupakan Tunku Laksamana Johor telah menzahirkan kekhuatirannya terhadap mesin tersebut selepas mengunjungi pusat rawatan berkenaan pada 8 Mac 2015.
“Semua ini kelihatan akan berubah dengan kurniaan Sultan Ibrahim untuk membeli (atau bagi pembelian) mesin “CT-simulator 64 slice” yang baru dan canggih itu.
“Ini akan membantu memastikan lebih ramai pesakit kanser dapat diselamatkan melalui rawatan radioterapi di hospital tersebut secara/dengan segera tanpa berlengah lagi,” titahnya.