
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan dipersembahkan taklimat komprehensif mengenai situasi semasa banjir, tahap hakisan pantai serta perkembangan projek tebatan banjir di seluruh negara.
Taklimat itu dipersembahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Mohamad Radzi Abdul Talib di Istana Negara hari ini, menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Turut hadir pada taklimat itu, Pengarah JPS Johor Muhammad Zaki Mashud.
Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan kebenaran penggunaan tanah milik baginda kepada JPS untuk pembinaan kolam takungan banjir bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Johor.
Baginda bertitah keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan utama dalam setiap usaha pengurusan bencana.