Salleh Keruak tidak terlibat sekat The Malaysian Insider

Salleh Keruak tidak terlibat sekat The Malaysian Insider

Tindakan menyekat portal berita itu dilakukan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

salleh-keruak
SHAH ALAM: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak tidak terlibat dalam sekatan yang dibuat terhadap portal berita The Malaysian Insider (TMI).

Menurut Salleh, tindakan menyekat portal berita itu dilakukan sepenuhnya oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“SKMM bekerja dengan bebas. Mereka ada panel penyiasat dan bekerja rapat dengan polis. Mereka hanya maklumkan keputusan yang diambil. Menteri tidak buat keputusan,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Kompleks Karangkraf, hari ini.

Jelas Salleh, SKMM mengambil tindakan sedemikian setelah mendapat aduan dari pihak awam. Selain itu, ia juga didapati bertentangan dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“SKMM telah mendapat aduan umum mengenai artikel TMI dan mereka telah membuat penyiasatan awal dan mendapati ada artikel tersebut yang bertentangan dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Salleh turut berkata, salah satu punca SKMM menyekat portal berital berkenaan adalah kerana ia menggunakan sumber dalam membuat laporan.

“Ya, salah satu artikel memetik panel dan beberapa kenyataan didapati mengelirukan kerana bercanggah dengan kenyataan rasmi SPRM. Sumber itu pun tidak tahu daripada siapa. Itu akan mengelirukan masyarakat,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, pihaknya tidak mempunyai masalah jika ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju dan tidak sependapat dengan keputusan Kerajaan Persekutuan. Bahkan, kerajaan juga tidak menyekat kebebasan bersuara.

“Kita tidak ada masalah dengan kebebasan bersuara. Kita boleh beri cadangan. Tapi ada perkara yang kita kena beritahu. Dalam kes ini panel itu tidak dinamakan.

“Banyak website yang kritik kerajaan. Itu tidak ada masalah. Sinar Harian pun pandangan berbeza. Kami tidak mengawal pandangan anda tapi perlu berhati-hati,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.