Gagal pertahan kerusi tradisi tamparan besar BN Sabah

Gagal pertahan kerusi tradisi tamparan besar BN Sabah

Gabungan itu yang pernah menang 59 daripada 60 kerusi ditandingi pada 2008, kini gagal pertahan kerusi yang dahulunya dianggap sebagai kubu kuat.

Umno Sabah yang diterajui Bung Moktar Radin, hilang beberapa kerusi tradisi dalam PRN semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) mengalami tamparan hebat pada PRN Sabah semalam apabila gabungan itu tewas di beberapa kerusi tradisi yang sekian lama dikuasainya.

Keputusan menunjukkan hanya seorang pemimpin kanan Umno Sabah berjaya mempertahankan kerusi, iaitu Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin di Lamag.

Bekas ketua menteri Salleh Said Keruak juga tewas di Usukan, manakala pemimpin lain seperti ketua penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir dan pengarah pilihan raya Jeffrey Nor Mohamed tumbang di Sungai Sibuga dan Tanjung Keramat.

Selain kerusi tradisi seperti Usukan dan Sungai Sibuga, BN turut kehilangan kubu kuat lain termasuk Tempasuk, Sugut, Balung dan Tanjung Batu.

Pengaruh BN di Sabah semakin merosot sejak sedekad lalu, dengan gabungan itu semakin hilang kerusi Parlimen dan DUN, khususnya selepas pemergian beberapa pemimpin tempatan utama dan parti komponen seperti Upko dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Pada 2008, BN memenangi 59 daripada 60 kerusi yang dipertandingkan, namun angka itu merosot kepada hanya 14 kerusi pada PRN 2020 dan kini tinggal enam kerusi selepas keputusan semalam.

Kebangkitan calon-calon parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti-parti tempatan lain turut menghakis sokongan tradisi Umno.

Bekas pemimpin Umno seperti Pengerusi GRS Hajiji Noor dan Setiausaha Agung Masidi Manjun pula dengan mudah mempertahankan kerusi Sulaman dan Karanaan.

Komponen BN, MCA, turut menyaksikan dua calonnya di Tanjong Kapor dan Karamunting tewas teruk kepada calon GRS dan Warisan.

PBRS rampas semula kerusi tradisi

Perkembangan positif untuk BN, satu-satunya parti komponen tempatan mereka, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), berjaya merampas kembali kerusi Sook menerusi presiden parti itu, Arthur Joseph Kurup.

Kurup merampas kerusi itu daripada Ellron Alfred Angin dari GRS, yang sebelum ini menjadi Adun Sook di bawah PBRS sejak 2008 hingga 2018, ketika bertanding sebagai calon bebas.

Pada PRN 2020, Ellron mempertahankan kerusi itu di bawah tiket Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan majoriti 1,232 undi.

Selain Sook, PBRS turut bertanding di Kundasang namun tewas kepada Presiden PBS Dr Joachim Gunsalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.