
Mereka mendakwa, pampasan yang diberikan kerajaan tidak memadai dengan nilai semasa tanah yang mereka duduki.
Seorang pemilik tanah, Ahmad Izwan Hamzah berkata, sebab utama penduduk membantah kerana kerana nilai pampasan yang diterima tidak setimpal dengan nilai harga tanah dan kawasan perumahan di kawasan berkenaan.
Katanya, pihak Jabatan Penilaian Malaysia diminta supaya menyemak balik nilai tanah dan rumah di kawasan yang terjejas dengan pembinaan SUKE.
“Kita mahu minta sebanyak mungkin pampasan sebab nak cari tanah di Kuala Lumpur masa ini susah.
“Mana nak dapat tanah yang tak payah pagar, keselamatan terjaga dan jiran yang ok.
“Kebanyakan penduduk di sini marah apabila kerajaan hanya mahu membayar dengan kadar yang minimum sebanyak RM1.1 juta daripada harga sebenar yang boleh mencecah RM1.3 hingga RM1.4 juta,” katanya.
Sebelum itu diadakan satu sesi dialog dan pertemuan antara penduduk Kampung Dato Mufti Shuib dengan Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) dalam menyelesaikan isu pembinaan SUKE di Dewan Orang Ramai Kampung Dato Mufti Shuib.
Mengulas lanjut, Izwan turut berkata mereka juga membantah disebabkan kebanyakan penduduk yang terjejas merupakan warga emas.
“Mereka harus faham kebanyakan penduduk sudah berumur 60 tahun ke atas dan kebanyakan mereka nak menghabiskan hidup mereka di sini.
“Warga emas di sini juga susah untuk membeli tanah lain dan membuat pinjaman bank. Ini kerana mereka terpaksa cari tanah dan beli rumah secara tunai,” tegasnya.
Beliau juga mendakwa, penduduk kecewa dengan wakil rakyat Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz yang dikatakan tidak membantu penduduk dalam masalah ini.
SUKE dirancang sejauh 32 kilometer untuk menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Jaringan Tengah 11 (MRR2) daripada Sri Petaling Ke Ulu Klang, melalui Sungai Besi, Cheras, Kajang dan Taman Putra Ampang.
Pembinaan lebuh raya itu sekaligus menjadi laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di MRR2 khususnya di kawasan Ulu Klang, Ampang dan Pandan Indah.