“Ia tindakan drastik yang boleh beri persepsi (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng seorang pemimpin yang autokratik.
“Beliau sepatutnya membincangkan perkara itu dengan kepimpinan Pakatan Harapan terlebih dahulu,” kata Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Setiausaha Agung DAP itu menggugurkan ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan ADUN Bukit Bunga, Cheah Kah Peng kerana mengambil sikap berkecuali dalam pengundian usul yang dibawa UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November lalu, agar semua projek penambakan di negeri itu dihentikan.
Tindakan Guan Eng itu mencetuskan bantahan PKR Pulau Pinang, apabila Pengerusinya, Datuk Mansor Othman mempersoalkan pengguguran itu.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga mempertahankan kedua-dua ADUN itu kerana menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Bercakap kepada FMT, Azizuddin berkata lagi, tindakan Guan Eng berisiko mencetuskan ketegangan antara kedua-dua parti khususnya di peringkat negeri.
“Tindakan ini pastinya boleh menjejaskan aktiviti (Pakatan Harapan) peringkat negeri, selain persediaan menghadapi pilihanraya umum akan datang,” kata penganalisis politik itu.
Chin Wen sebelum ini merupakan Pengarah Penang Invest dan Island Golf Properties Berhad, manakala Kah Peng merupakan Pengarah Perbadanan Bukit Bendera.
