Wanita DAP dalam satu kenyataan hari ini menggesa pemerintah supaya mengambil berat potensi berlakunya letusan keganasan antara kumpulan, kecurian kenderaan dan kegiatan samseng berkaitan, berlumba dibawah pengaruh dadah dan alkohol serta kacau ganggu ketenteraman awam.
“Idea disebalik budaya lumba jalanan ialah membentuk kumpulan dan berlumba sesama mereka – yang biasanya dianggap satu bentuk jenayah terancang atau kegiatan samseng,” kata Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid.
“Mesej sebegini oleh kerajaan adalah tidak wajar sama sekali.”
Beliau berkata demikian mengulas rancangan pemerintah melaksanakan program ‘Mat Motor’ yang mahu membenarkan mat-mat rempit berhibur secara berlumba di jalan raya pada malam-malam tertentu, dan melibatkan pengosongan laluan terbabit daripada kenderaan lain.
Rancangan itu kini sudah berada di peringkat perbincangan melibatkan Menteri Wilayah Persekutuan, UMNO, Barisan Nasional dan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Syerleena berkata pemerintah sepatutnya melaksanakan kajiselidik mengenalpasti cara terbaik menangani gejala mat rempit daripada berleluasa, dan bukannya mencadangkan program berisiko tinggi itu.
“Banyak kemalangan kenderaan dan aktiviti samseng pelbagai rupa dilaporkan berkait dengan budaya Mat Rempit sejak sedekad lalu,” kata Syerleena.
“Kegagalan pemerintah menangani isu ini secara berkesan sehingga ke hari ini sesuatu yang memilukan.”