
Syerleena berkata tiga akaun TikTok terbabit didakwa mereka-reka fakta dan menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya.
Katanya, walaupun beliau terbuka kepada kritikan secara demokratik, hantaran tersebut merupakan satu bentuk pembunuhan karakter dan mengeksploitasi sentimen berkaitan agama serta gender.
“Ia adalah usaha sistematik untuk menutup mulut saya dan merosakkan kredibiliti saya sebagai seorang wanita Melayu-Islam dan wakil rakyat.
“Salah satu video mendakwa saya mengajak orang Islam makan di sebuah kopitiam Cina (tidak halal), sedangkan saya tidak pernah melakukan perkara itu.
“Walau bagaimanapun, saya akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen dan tidak akan membiarkan perkara ini mengalih perhatian saya daripada bersuara untuk pengundi dan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen.
Syerleena turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis untuk menyiasat pencipta kandungan tersebut dan memberi mesej jelas bahawa fitnah dan ucapan kebencian tidak akan diterima.
Beliau juga berkata TikTok tidak seharusnya membenarkan kandungan yang jelas melanggar peraturannya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan yang turut hadir pada sidang akhbar itu, mengecam video-video berkenaan kerana merendahkan maruah Syerleena sebagai seorang Ahli Parlimen Melayu-Islam dalam DAP.
Beliau berkata laporan polis itu bukan dibuat untuk menutup mulut rakyat, tetapi untuk menegaskan bahawa terdapat batas antara kritikan dan ucapan kebencian.
“Pada pandangan saya, video-video itu sudah melampaui batas. Ini merupakan salah satu cabaran yang dihadapi oleh seorang Ahli Parlimen wanita Melayu-Islam dalam DAP.
“Kami pernah membuat laporan polis untuk kes-kes serupa sebelum ini, tetapi tidak banyak tindakan diambil. Saya berharap kali ini pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat,” tambahnya.