Dekriminalisasi ganja tidak akan berjaya

Dekriminalisasi ganja tidak akan berjaya

"Dia bergurau bukan?" kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berhubung cadangan dekriminalisasi bahan kontroversi itu

Datuk Nur Jazlan Mohamed.

KUALA LUMPUR:
Sebarang usaha untuk membolehkan penggunaan ganja di sisi undang-undang di Malaysia tidak akan menemui kejayaan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

“Dia bergurau bukan?” Reaksinya selepas ditanya wartawan ketika lawatan kerja Rondaan Bersama Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) PDRM/ATM di pusat membeli-belah Pavillion, di sini petang tadi.

Beliau merujuk cadangan Ahli Parlimen Belia, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli agar kerajaan mengkaji semula kesalahan penggunaan ganja dan melihatnya dari sudut positif.

“Dadah mudah didapati di Malaysia tetapi kita tidak boleh membenarkan penggunaannya, walaupun terhadap dadah yang kurang bahaya. Ia akan memberi kesan sosial,” katanya.

Katanya lagi, tindakan itu akan meningkatkan lagi kadar penyalahgunaan dadah, seperti apa yang berlaku di sesetengah negeri di Amerika Syarikat.

“Amerika ‘yang liberal’ tidak dapat menangani masalah dadah, sebab itu mereka mahu dekriminalisasikannya.

“Namun di Colorado misalnya, ia tetap tidak menghentikan penyalahgunaan dadah. Di Massachusetts, ia adalah masalah besar.

“Justeru langkah itu tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya lagi.

Cadangan tersebut mendapat perhatian meluas, dengan beberapa pihak seperti Persatuan Pengasih Malaysia setuju dengan cadangan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang dan Integriti (KUI) Parlimen Belia Malaysia Akmal Saufi Mohamed Khaled menafikan usul tersebut dibuat secara rasmi.

“Ia hanya pendapat perkumpulan belia yang disalurkan melalui perwakilan Parlimen Belia untuk makluman dewan. Ia bukan sebahagian usul dari jawatankuasa KUI yang ingin disampaikan kepada jemaah menteri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.