Hafizah, anak Malaysia buktikan gelombang ‘gravitational’

Hafizah, anak Malaysia buktikan gelombang ‘gravitational’

Anak Machang, Kelantan yang dahulunya menuntut di UiTM dan UIA ini terlibat dalam penulisan kertas kajian 'Observation of Gravitational Waves from a Binary Black Hole Merger'.

Hafizah-Noor-Isa

KUALA LUMPUR:
Siapa sangka, seorang anak Malaysia terlibat dalam penemuan membuktikan teori Albert Einstein tentang gelombang ‘gravitational’ yang menggemparkan dunia minggu lalu?

Memetik laporan Malaysiakini, Hafizah Noor Isa, pelajar ijazah doktor falsafah Universiti Glasgow adalah salah seorang yang terlibat dalam penulisan kertas saintifik ‘Observation of Gravitational Waves from a Binary Black Hole Merger’.

Kertas kajian itu menyenaraikan 1,004 penyumbang projek yang diketuai Laser Interferometer Gravitational-Wave Obervatory (LIGO) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Hafizah yang sebelum ini belajar dan membuat kajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kini di Institute of Gravitational Research, Universiti Glasgow.

Menurut laman web LIGO, Hafizah terlibat dalam projek ini melalui eksperimen GEO600, yang menganalisis data daripada peralatan yang dibina untuk mencari radiasi gravitational daripada sumber-sumber astrofizik (struktur kimia dan fizikal pada objek di angkasa).

Ahli fizik terkemuka, Stephen Hawking berkata, penemuan ini telah mengesahkan beberapa hipotesis utama teori relativiti Albert Einstein.

“Ia secara langsung mengesahkan kewujudan gelombang gravitational,” katanya kepada BBC, seperti dipetik Malaysiakini.

Penglibatan Hafizah yang berasal dari Machang, Kelantan ini disambut ahli akademik tempatan, selepas pensyarah fizik Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Hishamuddin Zainuddin berkongsi keratan kertas kajian di laman Facebooknya.

“Tidak ramai tahu bahawa penemuan terbaru gelombang gravitational melibatkan seorang warga Malaysia, Hafizah Noor Isa,” katanya.

“Penemuan ini berpotensi untuk menang Hadiah Nobel. Saya gembira mengetahui ada rakyat Malaysia yang terlibat. Tahniah, Hafizah!” kata profesor fizik Shahida Radiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.