
Kesemua mayat ditemui terperangkap di dalam kereta Honda Accord oleh pekerja ladang berkenaan pada jam 9.20 pagi tadi sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan M Kumar berkata, empat mayat dalam kereta itu dibawa ke Hospital Mersing untuk tindakan selanjut.
“Kita masih menjalankan siasatan dan akan mendapatkan keterangan daripada pihak keluarga remaja berkenaan selepas membuat pengecaman.
“Berdasarkan siasatan awal, polis percaya kereta itu terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya yang dipetik dari laman portal Berita Harian Online.
Empat remaja itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Seri Alam ke Terengganu untuk bercuti.
Semua mereka yang berusia 21 tahun itu dikenali sebagai Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.
Mereka dipercayai melalui jalan Johor Bahru-Kota Tinggi-Mersing-Rompin untuk bercuti ke lokasi yang masih belum diketahui secara tepat.
Namun, selepas dua jam bertolak kira-kira jam 11.30 malam, mereka gagal dihubungi melalui talian telefon bimbit.