MARA umum biasiswa RM238 juta untuk 10,583 pelajar

MARA umum biasiswa RM238 juta untuk 10,583 pelajar

Majlis itu juga menghubungi 510 pelajar UniKL yang hadapi kesulitan meneruskan pengajian, tawar makanan percuma dan skim bekerja di kampus

MARA

PETALING JAYA:
Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan biaya siswa hampir RM238 juta untuk 10,583 pelajar di Institut Pendidikan MARA (IPMa).

Daripada jumlah itu, seramai 9,180 pelajar layak mendapat tajaan penuh dengan jumlah peruntukan hampir RM214 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, majlis itu berkata sebanyak 1,940 surat tawaran telah diproses dan disiapkan untuk para pelajar bagi pengambilan Jun/Julai/September 2015 yang akan dihantar sebelum penghujung Februari. Proses permohonan dan kelulusan bagi pengambilan Januari 2016 akan diselesaikan pada Mac tahun ini juga.

Berkenaan laporan terdapatnya pelajar yang telah berhenti atau menangguhkan pengajian disebabkan masalah kewangan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dimiliki MARA telah menghubungi kesemua 510 pelajar terbabit dan sebahagian besar bersetuju untuk meneruskan pengajian dan kembali ke kampus mulai hari ini.

UniKL mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM250 termasuk skim khas untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka bekerja di kampus.

Universiti itu juga mewujudkan program khas yang mengagihkan makanan percuma kepada para pelajar dan akan memperuntukkan dana yang diperoleh daripada Alumni UniKL.

Dalam beberapa minggu ini MARA dikritik Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, yang mempertikaikan kemampuan MARA menaja pengajian para pelajarnya selepas ramai dikatakan terbiar tanpa sebarang berita mengenai masa depan akademik mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.