
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengumumkan perkara tersebut berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM58.89 juta, dan ia selaras dengan keputusan kerajaan meluluskan penambahbaikan sistem Tred (kepakaran) dan Band (gred) ATM.
Beliau berkata, bagi menghargai jasa dan keringat sebanyak 19,436 anggota LLP yang berkelayakan yang telah dan akan menamatkan perkhidmatan mereka dari 1 Januari 2013 sehingga 30 Jun 2016, kerajaan memberikan satu kenaikan band secara one-off kepada mereka.
“Kenaikan band ini adalah bagi tujuan pengiraan faedah persaraan kepada anggota di tred yang tidak boleh mencapai kenaikan ke Band 4 dan 5 sebelum ini dengan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM56.62 juta,” katanya.
Hishammuddin berkata demikian dalam Perutusan Tahun Baharu 2016 di Wisma Perkasa di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan penstrukturan semula tred sedia ada bagi memastikan kesemua anggota berpeluang mencapai peningkatan band sehingga band tertinggi, dan ia bukan sahaja memberi manfaat dari segi peningkatan gaji anggota, malah pengiktirafan kerajaan terhadap kepakaran dimiliki mereka.
“Secara tidak langsung ia akan mengiktiraf kesemua tred LLP adalah berkepakaran tinggi,” katanya.
Sistem Tred dan Band ATM merupakan sistem saraan yang menjadi asas penetapan gaji bagi setiap anggota LLP dengan gaji mereka dibayar pada lima peringkat band gaji mengikut tahap ketukangan atau kemahiran anggota.
Hishammuddin berkata, berdasarkan sistem sedia ada, hanya anggota yang mempunyai kemahiran dalam tred tertentu sahaja layak memperoleh peningkatan band tertinggi sehingga tahap maksimum iaitu Band 5.
Beliau yang amat gembira dengan kelulusan kerajaan itu berkata, inisiatif itu adalah antara usaha membantu meringankan beban para anggota ATM terutamanya ketika berdepan cabaran ekonomi pada masa kini.
“Ini juga memberi ruang dan peluang bagi para anggota yang sebelum ini tidak berupaya mencapai Band 5 untuk tingkatkan lagi kepakaran dan kemahiran mereka selain membuka lebih lagi peluang pekerjaan dalam sektor swasta apabila mereka pencen kelak,” katanya.
– Bernama