Bagi isteri seorang OKU, cinta mengatasi segalanya

Bagi isteri seorang OKU, cinta mengatasi segalanya

Bavani tidak pedulikan bantahan keluarga, mengahwini orang yang dicintai, dan mengangkat cinta mengatasi segalanya

KUALA LUMPUR:
Meskipun keluarga membantah keras hasratnya mahu berkahwin dengan seorang Orang Kelainan Upaya, K Bavani tidak pernah meragui perasaannya untuk sehidup semati bersama, S Jeyaraj.

Suaminya itu merupakan penulis ‘Guidance for Wheelchair Bound’, buku panduan dwi-bahasa untuk pengguna kerusi roda dan kesayangan mereka.

“Semasa kami bercinta, dia bekerja di Singapura dan saya di Malaysia, dia akan menghubungi saya setiap hari tepat jam 10 pagi tanpa gagal.

“Namun pada suatu hari, dia tidak menghubungi saya dan saya gagal menghubunginya,” katanya, dan menambah dia bergegas ke Singapura untuk berada di sisi Jeyaraj sebaik mengetahui kekasihnya itu terlibat dalam satu kemalangan di tempat kerja.

Perasaan kasih Bavani pada teman hidupnya itu tidak tergugat sama-sekali meskipun diberitahu bahawa Jeyaraj akan cacat seumur hidup.

“Keluarga saya bantah sekerasnya kerana mereka prihatin dengan masa depan saya dan tidak mahu saya terbeban dan melalui kehidupan yang sukar,” katanya, dan menambah hanya ibunya yang menyokong keputusannya untuk bersama Jeyaraj.

“Saya tak peduli, saya beritahu mereka saya cintakan Jeyaraj dan saya tidak boleh hidup tanpanya.”

Sembilan tahun berlalu, Bavani dan Jeyaraj hidup bahagia dan dikurniai seorang anak, Phavickneyaraj, 3 tahun.

Bagi Bavani, meskipun ada cabaran pada ketika dan masa tertentu, namun dugaan itu tidak menghalang keluarganya dari melalui kehidupan seperti biasa, kerana Jeyaraj seorang yang sangat berdikari dan mengisi hari-harinya 90 peratus tanpa sebarang bantuan.

“Jeyaraj seorang suami dan bapa yang hebat, dia seorang lelaki yang baik dan penyabar. Dia wira saya.”

Bavani menasihatkan mereka yang mengalami keadaan yang sama sepertinya supaya berada disamping pasangan masing-masing dan menghadapi masa sukar bersama.

Bagi Jeyaraj, isterinya itu merupakan teman hidup sejati.

“Tidak ada perkataan yang boleh mengungkap sedalam masa cinta saya padanya dan betapa dia sangat berarti bagi saya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.