Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan kecil dan Sederhana (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, kerajaan juga perlu menangguhkan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh sehingga selesai PRU14 demi menjaga nama baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan.
“Pihak pembangkang membuat spekulasi segelintir warga Bangladesh daripada kemasukan 1.5 juta dan program pemutihan PATI akan digunakan sebagai pengundi. Ia akan merosakkan nama Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia, jika menang semula PRU14, pembangkang akan jadikan isu menang kerana undi warga asing, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam laporan polis terhadap kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh di Balai Polis Dang Wangi, hari ini.
Dalam laporan polis itu juga, Mohd Ridzuan meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat daripada semua sudut supaya isu warga asing tidak menjadi beban kepada agensi-agensi kerajaan kelak dan hilang sokongan rakyat kepada kerajaan serta Perdana Menteri.
Katanya, IKHLAS khuatir proses pemulihan politik Barisan Nasional (BN) akan terjejas disebabkan isu pengambilan pekerja asing Bangladesh dan program pemutihan PATI kerana rata-rata rakyat Malaysia tidak menyokong cadangan itu.