EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom hanya boleh menggunakan khidmat syarikat kontraktor yang disenarai Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menjalankan kerja-kerja menurap semula jalan.
“Ini sama seperti apabila JKR hendak melebar jalan dan mengalih aset milik syarikat utiliti. JKR perlu melantik dari senarai kontraktor yang diiktiraf oleh syarikat utiliti tersebut.
“JKR dan syarikat utiliti di Selangor sudah memulakan perbincangan ke arah ini,” katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, Zaidy berkata, peraturan baharu itu perlu dilaksanakan kerana terdapat syarikat utiliti yang tidak memaklumkan kerja-kerja mengorek jalan kepada pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tambahnya, syarikat utiliti terbabit juga tidak menurap semula jalan yang mereka korek dengan sempurna.
Pada 9 Feb lalu, DBKL melaksanakan peraturan tidak membenarkan syarikat utiliti membuat kerja menurap jalan yang dikorek.
Sebaliknya, kerja penurapan itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh DBKL dengan kos ditanggung oleh syarikat utiliti terbabit.