Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, karier bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam bidang politik telah sampai ke penghujung dan beliau sepatutnya dibiarkan berehat di dalam penjara.
Katanya, rakyat telah sedar dan jemu dengan permainan politik Anwar yang tidak pernah berakhir.
Kenyataan Syed Ali itu sekaligus mengetepikan kenyataan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang menganggap Anwar berperanan penting untuk pakatan pembangkang mengubah landskap politik negara.
Syed Ahli berkata, orang Melayu sudah mula menjauhi Anwar dan hilang kepercayaan selepas Ketua Umum PKR itu didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
“Apabila seorang ahli politik hilang aura, secara tidak langsung dia tidak lagi diperlukan oleh masyarakat. Apatah lagi jika ahli politik itu dikaitkan dengan kes moral yang memalukan,” kata Syed Ali menerusi blognya.
Bagaimanapun Syed Ali berkata, kenyataan Mat Sabu menyerlahkan tanggapan umum bahawa pakatan pembangkang tidak sekuat mana seperti yang digembar-gemburkan.
Oleh kerana itu katanya, Mat Sabu masih lagi memperalatkan nama Anwar bagi menarik perhatian anak muda terutama golongan mahasiswa.
Katanya, pembangkang cuba jadikan Anwar sebagai potret kebangkitan golongan pelajar walaupun sejarahnya sudah lama berlalu.
Syed Ali berkata, imej dan lanskap politik Anwar bukan seperti zaman 70-an di mana kebangkitannya boleh menggegarkan persada politik pada ketika itu.
“Hakikatnya, zaman sudah berlalu, imej dan wajah politik Anwar sudah kotor kerana terpalit kes liwat dan semakin dilupakan,” katanya.
Menurut beliau, generasi hari ini mengetahui Anwar merupakan pemain politik yang dipenjarakan kerana disabit kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, aura beliau sudah tidak ada lagi.