Anwar tahanan jenayah bukan tahanan politik – Saiful Bukhari

Anwar tahanan jenayah bukan tahanan politik – Saiful Bukhari

Anwar Ibrahim dipenjara selepas dibicara secara adil oleh sembilan hakim dan melalui proses perbicaraan selama tujuh tahun.

saiful_anwar_6000

PETALING JAYA:
Pihak luar terutama negara asing dan pertubuhan antarabangsa digesa agar berhenti mempercayai dan melabel Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik.

Bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan sebaliknya menegaskan bahawa bekas Ketua Pembangkang itu adalah tahanan jenayah.

“Tidak juga ada kena mengena dengan penindasan demokrasi. Juga, hentikanlah memberi dana dan sokongan (badan antarabangsa) kerana ia dusta belaka.

“Beliau (Anwar) telah didakwa atas kesalahan jenayah, dibicara dan diadili oleh sejumlah sembilan orang hakim di mana perbicaraan telah mengambil masa yang lama, lebih kurang tujuh tahun,” tulisnya di blog sempena setahun pemenjaraan Anwar.

Saiful juga tidak berpuas hati apabila badan hak manusia dan pertubuhan antarabangsa mengaitkan isu hak asasi manusia dengan pemenjaraan Anwar.

“Namun bagaimana pula dengan saya? Saya adalah pengadu dan mangsa dalam kes ini. Adakah saya ini bukan manusia sehingga dinafikan hak sebagai mangsa secara total oleh badan-badan hak asasi manusia?

“Pada hemat saya, agaknya realiti dunia sekarang sudah terbalik. Manusia akan membela individu yang berkepentingan kepada mereka, berkuasa, berpengaruh, berduit kaya raya.

“Dan bukannya orang kecil seperti saya ini, tak kaya, tak ada kuasa, tidak ada kepentingan. Adakah ini yang ingin dibudayakan?,” soalnya.

Bagaimanapun, Saiful dalam masa yang sama turut mendoakan agar bekas majikannya itu sihat dan tenang di Penjara Sungai Buloh.

“Gunakanlah tempoh muhasabah ini sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun bagi hambanya yang benar-benar insaf. Sebagai bekas majikan, saya doakan yang terbaik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.