Rata-rata rakyat Kedah yang ditemui FMT meletakkan harapan tinggi kepada Ahmad Bashah dan berharap beliau menggunakan peluang itu sebaiknya untuk membuktikan kemampuan memimpin negeri.
Penoreh getah, Khalijah Awang Kechik, 51, berharap Ahmad Bashah dapat melaksanakan tugas dengan baik dan membela nasib rakyat.
“Tambahan pula kami dari golongan yang susah. Macam saya ni bekerja sebagai penoreh getah. Harga getah sekarang murah.
“InsyaAllah kami terima Menteri Besar baru dengan hati terbuka, belalah rakyat dengan bertanggungjawab,” katanya.
Peniaga gerai makan, Samsudin Ahmad, 45, berharap kerajaan negeri menambah bantuan kepada rakyat Kedah.
“Alhamdulillah, rakyat akan terima (pelantikan Ahmad Bashah). Ramai yang kata yang ini (Menteri Besar baru) elok (bagus).
“Buatlah bagi elok, mana-mana yang terencat sebelum ini perbetulkan. Apabila orang susah minta bantuan, rumah bocor atau apa sahaja, kena bantu,” katanya.
Rakannya, Mohamad Ali, 43, berkata, Ahmad Bashah perlu bekerja untuk rakyat dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan amanah.
“Harap diperbaiki apa yang tak elok atau kelemahan sebelum ini untuk rakyat negeri Kedah,” katanya.
Thanaletchumi AP Dorai, 22, pula berharap kerajaan negeri membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk negeri itu.
“Harapan saya sama seperti orang lain, harap dapat majukan lagi Kedah, beri peluang orang berniaga, jangan biar rakyat kita terkebelakang.. majukan lagi rakyat Kedah.
Berbeza pula pandangan dua pesara yang tidak setuju Ahmad Bashah menjadi Menteri Besar selepas penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Bashir Ahmad, 75, berkata tidak adil Mukhriz dituduh gagal membawa pembangunan di Kedah kerana beliau hanya mentadbir untuk tempoh yang singkat.
“Diharap juga dalam pemimpin UMNO tidak ada sifat dendam kerana ia hanya akan menyusahkan rakyat kelak nanti,” katanya.
Rakannya, Nasir Rahman, 55, berkata prestasi Ahmad Bashah sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) tidak menampakkan kejayaan.
“Apabila jadi Menteri Besar baharu ini, rakyat boleh nilai sendiri.
“Semasa beliau (Bashah) di KPDNKK, kalau kita nilai prestasi, rakyat macam ini juga, barang tak turun. Ini jadi penilaian, rakyat nak tegok.
“Kamu boleh fikir sendiri, kalau duduk sana ( KPDNKK) tidak boleh buat apa, lagi jadi Menteri Besar,” katanya.
