Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Datuk Seri Dr Md Yusof Che Tha selepas mendengar hujah daripada peguam Anwar dan Jamil.
Sebelum itu, Jamil telah memohon untuk mengenepikan semua kes qazaf yang dipohon Anwar.
Pada masa sama, Anwar juga mengemukakan permohonan bantahan awal untuk mengenepikan permohonan bantahan daripada Jamil.
Bagaimanapun, hakim membuat keputusan untuk mengabungkan kedua-dua kes tersebut dan diputuskan pada 29 April itu nanti.
Sementara itu, peguam Anwar, Kamar Aniah Kamaruzzaman berkata, dia menerima keputusan yang dibuat oleh hakim.
Katanya, jika mahkamah membenarkan permohonan Jamil pada 29 April nanti, maka kes qazaf itu akan diketepikan.
“Kita tak dapat teruskan lagi kes yang dipohon Anwar jika mahkamah memutuskan sedemikian,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Terdahulu, permohonan qazaf dibuat bagi mendakwa bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari yang gagal mengemukakan empat saksi dalam sabitan pertuduhan kes Fitnah II yang menyaksikan Anwar bersalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan dipenjarakan lima tahun pada 10 Februari lalu.