Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff berkata, setiap parti tidak boleh meninggalkan isu-isu Melayu dalam perjuangan mereka mengangkat martabat rakyat Malaysia.
“Dalam memperjuangkan rakyat, jangan lupa bahawa kedudukan Melayu perlu dihormati. Ini untuk semua parti, termasuk parti yang berasaskan kaum lain,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli semalam bahawa Pakatan Harapan tidak akan lagi mengelak dalam mendepani soal kebimbangan orang Melayu berhubung hak dan kepentingan mereka.
Namun, penganalisis politik itu turut mengingatkan agar kepentingan kaum-kaum lain tidak dipinggirkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pokoknya parti politik perlu berpegang kepada dua tonggak; iaitu Perlembagaan Persekutuan dan negara. Perlembagaan menjamin hak Melayu dan pada masa sama tidak meminggirkan kaum lain dan Malaysia di mana kita adalah warganya.
“Masalahnya tidak ramai ahli politik yang begitu. Kebanyakannya terlalu taksub kepada parti dan kaum masing-masing,” katanya lagi.
