Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pemantauan aplikasi pesanan segera dan media sosial akan dilakukan mengikut lunas dan had yang ditetapkan undang-undang negara.
“Kita bukan akan lihat setiap orang punya mesej, tetapi maksud saya, kita akan perhati apa sahaja salah guna yang mengancam keselamatan negara,” katanya dalam sidang media di Hotel Hilton, di sini, hari ini.
Bagaimanapun Khalid tidak menyatakan secara khusus cara yang akan digunakan untuk memantau media sosial.
“Tidak payah kita bagi tahu (cara yang digunakan untuk memantau). Kita akan gunakan apa jua cara yang tidak melanggar undang-undang untuk cegah masyarakat daripada salah guna sosial media,” ujarnya lagi.
Semalam, Khalid memberitahu polis akan tumpu membanteras jenayah sosial media kerana rakyat Malaysia kurang matang mengendalikan kemudahan itu.
Menurut kajian antarabangsa, menurut Khalid, seramai 14 juta rakyat di negara ini mempunyai Facebook dan memberi komen yang tidak elok di laman sosial itu.
