Elaun sara hidup RM100 sebulan untuk mahasiswa

Elaun sara hidup RM100 sebulan untuk mahasiswa

Kerajaan perlu menubuhkan segera Tabung Sara Hidup Mahasiswa untuk mencari sumber dana daripada GLC dan syarikat korporat

mahasiswa

PETALING JAYA:
Kerajaan Pusat disaran supaya menyediakan elaun sara hidup bulanan kepada golongan mahasiswa sebanyak RM100 sebulan.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, berdasarkan data 2013, lebih 500,000 mahasiswa warga tempatan sedang menuntut di universiti awam (UA).

Sehubungan itu, katanya, kerajaan hanya perlu membelanjakan kira-kira RM600 juta setahun untuk elaun sara hidup mahasiswa sarjana muda dan diploma.

Katanya, peruntukan itu jauh lebih rendah berbanding pembaziran yang dilakukan kerajaan seperti yang dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara.

“Elaun sara hidup ini adalah sebagai tambahan kepada dana pendidikan yang mereka perolehi ketika ini sama ada dalam bentuk biasiswa atau pinjaman bagi membiayai kos pendidikan tinggi mereka.

“Mekanisma pengagihan elaun tersebut boleh dilakukan dengan dikreditkan terus amaun itu ke akaun setiap pelajar pada setiap hujung bulan,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, kerajaan boleh mencari sumber bagi elaun itu dengan penubuhan “Tabung Sara Hidup Mahasiswa” yang perlu dilancarkan segera dengan kerjasama syarikat-syarikat milik Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, syarikat-syarikat korporat, yayasan-yayasan kebajikan, persatuan kebajikan serta masyarakat awam yang prihatin.

“Jika program berbentuk hiburan, kebudayaan atau sukan pun ada yang sanggup memberikan penajaan sehingga mencecah jutaan Ringgit, saya yakin dan percaya akan ada juga yang sudi memberikan penajaan kepada golongan mahasiswa ini yang merupakan aset penting negara dan untuk meraih ganjaran yang lebih besar di sisi Allah s.w.t,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.