Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datin Noor Aziah Mohd Awal berkata, pihak universiti memandang serius perkara itu dan sudah memanggil pelajar berkenaan bagi memastikan kebajikan mereka terbela.
“Untuk makluman, UKM sudah lama mewujudkan Unit Kebajikan Pelajar di bawah Pusat Khidmat Siswa bagi menjaga kebajikan semua pelajar UKM dengan pelbagai bantuan kewangan diberikan,” katanya yang dipetik dari Harian Metro Online.
Menurut Noor Aziah, selain terpaksa menyara keluarga di kampung, sesetengah pelajar juga mengalami masalah untuk menguruskan kewangan sendiri.
“Kita ingin tegaskan, pelajar yang mengalami masalah kewangan akan dibantu oleh UKM, manakala bagi keluarga mereka perlu mendapatkan bantuan daripada Lembaga Zakat di negeri masing-masing.
“Malah, menerusi Unit Kebajikan Pelajar, bantuan kewangan yang diberikan adalah jika berlaku kematian pelajar, wang akan dibayar kepada waris, kematian waris seperti ibu atau bapa turut akan dibayar kepada pelajar, bil rawatan kesihatan, kes khas seperti kehilangan wang, komputer dan motosikal serta pelajar kesempitan hidup,” ujarnya.
Hasil siasatan yang dilakukan oleh Hal Ehwal Pelajar UKM, kedua-dua pelajar berasal dari Sandakan, Sabah dan Negeri Sembilan, katanya.
“Hasil siasatan Hal Ehwal Pelajar UKM, kedua-dua pelajar berkenaan adalah penerima pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).
“Malah, pelajar dari Sandakan itu sudah menerima bantuan Unit Kebajikan pada awal Oktober 2015 sebanyak RM100 dan dari kolej kediaman tempat tinggalnya sebanyak RM350.
“Pelajar kedua dari Negeri Sembilan tidak membuat sebarang aduan kepada Unit Kebajikan dan mengaku mengalami masalah kewangan kerana tidak pandai mengurus kewangannya,” ujarnya lagi.
