Melihat pada pergerakan perniagaan yang dijalankan oleh orang Melayu di bangunan MARA Digital memang sedikit sebanyak menyuntik rasa semangat dalam kalangan bangsa itu sendiri untuk terus terlibat dalam bidang yang menjanjikan kekayaan.
Persaingan dalam perniagaan merupakan`istilah’ yang sangat sinonim digunakan dalam bidang yang berkait rapat dengan untung rugi dan hanya mereka yang bijak dalam mengurus sahaja mampu mencapai matlamat untuk terus berjaya.
Baru-baru ini, penulis ada mengajak pembaca supaya melihat kepada pengukuhan rantaian bekalan peniaga di MARA Digital.
Ia penting kerana asas pengukuhan terhadap rantaian bekalan itu boleh menentukan masa depan orang Melayu di situ sama ada mereka akan kekal lama atau sebaliknya.
Bagaimanapun, beberapa hari lalu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman melantik sebuah syarikat iaitu WGN Scan Sdn Bhd sebagai pembekal produk tunggal kepada semua peniaga di situ.
Alasan yang diberikan oleh Ismail Sabri atas pelantikan tunggal syarikat itu adalah mahu mengekalkan ketulenan barang yang dijual di situ.
Persoalannya, adakah ia memberi manfaat kepada semua pihak atau ia hanya akan menguntungkan kepada sebelah pihak sahaja.
Kini, perkara itu menjadi bualan dalam kalangan rakan penulis apabila mereka melahirkan pendapat, langkah yang diambil oleh KKLW itu tidak membuka satu persaingan perniagaan yang sihat.
Pembekal mungkin menetapkan satu harga kepada semua penjual manakala penjual pula sukar untuk bermain dengan harga kepada pembeli.
Peniaga terpaksa menetapkan satu sebut harga yang sama kepada pembeli kerana tidak mungkin pembekal akan meletakkan harga berlainan kepada penjual.
Ada juga yang mengatakan langkah hanya membenarkan sebuah syarikat untuk membekal barang di MARA Digital seperti menjaga kepentingan kroni.
Cakap-cakap begini memang tidak seronok untuk didengar tetapi, untuk menutup ia daripada terus menjadi perbualan, kerajaan perlu melakukan sesuatu.
Pengukuhan rantaian bekalan
Berbalik kepada topik perbincangan mengenai pengukuhan rantaian bekalan, urusniaga di MARA Digital mungkin akan menjadi lembab jika pembekal itu keputusan barang untuk dibekalkan kepada peniaga di situ.
Langkah berkenaan sudah pasti akan menyebabkan operasi di MARA Digital tergendala dan paling dibimbangi ialah pengunjung bosan dan tidak lagi mahu berkunjung ke situ.
Niat untuk memastikan hanya barangan tulen sahaja dijual di pusat perniagaan itu amat baik tetapi ia perlulah dikembangkan lagi dengan memberi peluang kepada pembekal lain untuk turut sama merancakkan perniagaan di MARA Digital.
Tiada ruginya kalau mereka bersaing dan pihak berkaitan seperti KKLW perlu memberi sokongan agar hasrat untuk melihat orang Melayu di MARA Digital berjaya mencapai matlamatnya.
Justeru, penulis berpendapat agar pihak berkenaan mengkaji semula keputusan yang dibuat dengan membenarkan lebih banyak lagi syarikat pembekal beroperasi di situ.
Apa yang lebih penting, langkah itu secara tidak langsung dapat melenyapkan tanggapan negatif walaupun apa yang diperkatakan itu tidak mungkin berlaku.
