SOP baharu tangani pencemaran bauksit

SOP baharu tangani pencemaran bauksit

Aktiviti melombong bauksit boleh dijalankan semula jika SOP baharu itu dipatuhi

Hamim-Samuri_bauksit_600

LEDANG:
Dalam tempoh tiga bulan ini Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mengeluarkan tatacara pengendalian piawai (SOP) baharu dalam menangani isu pencemaran alam sekitar akibat perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang.

Timbalan Menteri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, SOP kini dalam peringkat kajian terperinci bersama beberapa agensi berkaitan.

“Kementerian sebenarnya sudah mempunyai SOP sedia ada mengenai aktiviti perlombongan bauksit berdasarkan beberapa bengkel peringkat kementerian yang diadakan sebelum ini, tetapi, kita perlu menambah baik beberapa perkara terutama hal yang melibatkan beberapa aspek yang kurang memuaskan.

“Kita akan menggunakan tempoh moratorium untuk meneliti SOP itu bersama agensi di bawah kementerian serta pihak berkuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan sebagainya,” katanya.

Menurut Hamim, sekiranya SOP baharu itu dipatuhi pengusaha, aktiviti melombong dan mengeksport bauksit boleh beroperasi semula.

“Di peringkat kementerian, selagi aktiviti itu tidak mencemarkan alam sekitar dan tidak memberi kesan kesihatan kepada orang ramai, kita akan terima (aktiviti melombong),” katanya.

Rabu lepas (6 Jan), Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari.

Moratarium itu bagi membendung masalah pencemaran akibat bauksit. Kerajaan juga telah membekukan permit impot (AP) untuk menjalankan operasi perlombongan sejak minggu lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.