Bebas guna, jual vape di Negeri Sembilan

Bebas guna, jual vape di Negeri Sembilan

Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan tidak akan melarang penggunaan dan penjualan vape di negeri itu.

mohamad-hasan_vape_600_1

SEREMBAN:
Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan melarang penggunaan dan penjualan vape di negeri itu.

Keputusan itu dibuat meskipun Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan sebelum ini yang mengfatwakannya sebagai haram bagi orang Islam.

Bercakap dalam sidang media di Wisma Negeri tadi, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Hassan berkata, kerajaan negeri juga masih belum memutuskan soal penguatkuasaan selepas fatwa itu diwartakan nanti.

“Fatwa ini panduan yang dikeluarkan berdasarkan hukum agama. Terpulang kepada orang Islam untuk jadi muslim yang baik (dan mematuhinya atau tidak).

“Fatwa ini belum diwartakan, dan kita belum tentukan bagaimana penguatkuasaannya (selepas diwarta). Janganlah penguatkuasa bersikap melebih-lebih (overzealous) dan pergi tangkap orang pula nanti,” katanya lagi.

Berhubung aspek penjualan pula, Mohammad Hassan menegaskan sesiapa sahaja bebas menjalankan perniagaan berasaskan vape di sini.

“Kita tidak akan tutup perniagaan vape, termasuk oleh peniaga Islam. Kita tidak akan sentuh, sehinggalah jika kerajaan persekutuan tetapkan syarat seperti tidak boleh dijual secara terbuka atau dengan had umur,” katanya lagi.

“Janganlah fatwa kata haram, kita nak haramkan semuanya termasuk peniagaan. Ini bertentangan dengan hak dan kebebasan asasi,” katanya lagi.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Exco pagi tadi, selepas taklimat oleh Mufti Negeri Datuk Mohd Yusuf Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.