Sophia Zuhri, penyanyi muda berbakat besar

Sophia Zuhri, penyanyi muda berbakat besar

Bernaung di bawah Universal Music Publishing Sdn Bhd, Sophia Zuhri muncul dengan lagu single ‘Game of Charades’ bersama penulis lagu dan komposer terkenal, Ajai.

Sophia Zuhri mempunyai bakat besar dalam industri muzik.

Petaling Jaya: Pada usia 17 tahun, bakat yang yang dimiliki seorang penyanyi dan penulis lagu, Sophia Zuhri cukup mengagumkan.

Selain memiliki suara memukau, kebolehannya menulis lagu pastinya menjadikan remaja ini sebagai penyanyi yang tidak boleh dipandang rendah.

Minat mendalam terhadap muzik membawanya bertemu penulis lagu dan komposer terkenal Ajai.

Dengan sentuhan muzik yang sesuai, Sophia kemudiannya muncul dengan lagu single berjudul ‘Game of Charades’ yang ditulisnya sendiri.

Sophia menjelaskan kepada FMT bahawa dia sentiasa menanam minat terhadap bidang hiburan dan sebelum ini pernah membuat persembahan dengan berjinak-jinak dalam tarian ballet.

Muzik sentiasa tersemat dalam jiwanya dan berbekalkan sebuah ukulele, remaja terbabit sering meluangkan masa menulis pengalaman hidupnya ke dalam muzik.

“Menyanyi adalah sesuatu yang istimewa bagi saya kerana anda boleh merasai pelbagai emosi setiap kali mendengar lirik lagu dan ia adalah cara paling baik untuk saya mengekspresi diri.

“Lagu Game of Charades adalah mengenai mencari diri anda, membina keyakinan diri dan sedar bahawa tidak ada salahnya jika kadangkala melakukan kesilapan.

“Ia juga mengenai perasaan untuk menerima diri yang berfikir dalam cara tertentu dan bukan mudah menjadi seseorang yang dipinggirkan,” katanya.

Sophia Zuhri dan Ajai ketika pelancaran ‘Game of Charades’. (Gambar Universal Music Publishing Sdn Bhd)

Sophia menggunakan pengalamannya yang ditulis ke dalam lagu terbabit ketika usianya 14 tahun selain mengambil pandangan dari perspektif berbeza sebagai inspirasi menerapkan mesej ke dalam lagu.

Kemahirannya menulis lagu itu terbukti apabila dia mampu menghasilkan lirik dalam tempoh dua jam saja.

“Sebaik saya mendapat irama dan cerita yang ingin dikongsi, lirik lebih mudah ditulis,” katanya.

Penggambaran video muziknya dilakukan di UNI Studio LTE bersama tenaga kerja termasuk Nicholas Chin sebagai pembantu Pengarah Fotografi serta Pembantu Pengarah, Farah Fadzil.

Menurut Sophia, dia turut memberitahu ibu bapanya mengenai hasrat untuk menceburi bidang hiburan lalu mereka memperkenalkan Ajai.

“Ketika membuat keputusan untuk menceburi bidang muzik, saya memberanikan diri menjelaskan kepada ibu bapa. Saya bersyukur apabila mereka amat menyokong keputusan ini,” katanya.

Lagu single ‘Game of Charades’ dikeluarkan pada 30 Mac. (Gambar Universal Music Publishing Sdn Bhd)

Ajai tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menilai bakat mendalam yang dimiliki remaja itu malah kedua-duanya sebenarnya turut berkongsi minat terhadap seni dan muzik berkualiti.

Sophia yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat A-level di United Kingdom (UK), tidak kisah walaupun terpaksa membahagikan masa antara kerjaya muzik, pelajaran dan kehidupan sosialnya.

“Saya percaya boleh mencari keseimbangan dengan mudah kerana saya belajar di UK manakala kerjaya muzik pula bermula di Malaysia. Pengasingan itu membolehkan saya membahagikan kedua-duanya.

“Dari segi kehidupan sosial, kebanyakan rakan amat menyokong dalam apa jua saya lakukan dan ia memudahkan lagi perjalanan ini.

Remaja terbabit tidak putus-putus bercakap mengenai keluarganya yang menjadi penyokong paling besar manakala rakan pula ingin melihat dia menikmati perjalanannya dalam kerjaya muzik.

Lagu terbaru Sophia, Game of Charades (Gambar Universal Music Publishing Sdn Bhd)

Sophia berkata, Game of Charades yang diedarkan oleh Universal Music adalah lagu single daripada albumnya yang terdiri daripada lima lagu dan ia dijangka dikeluarkan pada Ogos nanti,

“Saya amat teruja untuk semua orang mendengar lagu ini. Saya berharap setiap lagu turut mempunyai kaitan dengan mereka yang mempunyai pengalaman sama di luar sana.

“Ramai artis sukar mencipta nama dalam industri ini dan mereka adalah orang yang sentiasa memberi motivasi kepada saya,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.