2,230 pulih atasi 2,068 kes baru COVID-19, 3 kematian

2,230 pulih atasi 2,068 kes baru COVID-19, 3 kematian

Terdapat 23,433 kes aktif dengan 54 daripada 126 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan merekodkan 2,230 pesakit pulih berbanding 2,068 kes baru COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini menjadikan 91,171 kes sembuh daripada keseluruhan 115,078 kes COVID-19 di seluruh negara setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kematian hari ini menjadikan keseluruhan 474 kes korban setakat ini.

Ia membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia 58 hingga 94 tahun di Negeri Sembilan, KL serta Selangor.

Semua warganegara itu mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan jantung.

Kes baru hari ini membabitkan 2,066 kes penularan tempatan dan dua kes import.

Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 776 kes (37.5%), dengan 425 daripadanya dikesan daripada kluster dan saringan kontak rapat, disusuli Kuala Lumpur (457 kes) dan Sabah (254 kes).

“Sebanyak 18 kes (0.9%) yang dilaporkan berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), Tembok Gajah (4 kes) dan Pagar Siput (1 kes),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, terdapat 23,433 kes aktif dengan 54 daripada 126 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.