
Ini adalah jumlah tertinggi kes dalam sehari sejak Covid-19 dilaporkan di Malaysia. Rekod sebelum ini ialah 871 kes yang dicatatkan 18 Okt lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 671 pesakit sembuh hari ini, termasuk 449 orang dari Sabah, menjadikan keseluruhan 16,555 kes pulih daripada 25,742 kes positif Covid-19.
Katanya, seramai 8,966 pesakit masih dirawat di seluruh negara, dengan 31 daripada 92 orang yang ditempatkan di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau berkata, 7 kematian yang dilaporkan hari ini terdiri daripada 6 lelaki di Sabah dan seorang lelaki di Pulau Pinang, menjadikan keseluruhan 221 kematian setakat ini.
Katanya, sebanyak 1,217 kes baru itu membabitkan penularan tempatan dan 11 lagi kes import.
Hisham berkata, Sabah terus mencatatkan jumlah kes terbanyak, iaitu 889 kes dengan 500 daripadanya datang dari kluster aktif dan selebihnya dikesan melalui saringan kontak rapat dan saringan lain.
Selain Sabah, katanya, 96 kes baru direkodkan di Negeri Sembilan, diikuti Selangor dan Kedah masing-masing melaporkan 76 kes, Pulau Pinang (23), Labuan (21), Perak (10), Sarawak (8), KL (8), Johor (7) dan Melaka (3).
Beliau berkata, kebanyakan kes itu datang dari kluster aktif dan saringan kontak rapat kes positif.
“Negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan 95 kes. Daripada 95 kes baru itu, 29 kes dari kluster sedia ada dan baru,” katanya dalam sidang media hari ini.
“Sebanyak 2 kes merupakan pengunjung pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept lalu sebanyak 468 kes.”
Hisham berkata, 502 kes hari ini membabitkan tahanan daripada kluster Tembok, Penjara Kepayan, Penjara Seberang Perai dan Penjara Reman.
Katanya, 11 kes import hari ini membabitkan 3 warganegara dan 8 warga asing dari Singapura, Indonesia, China serta Emiriah Arab Bersatu.