Lebih 800 kes penularan tempatan, 486 sembuh

Lebih 800 kes penularan tempatan, 486 sembuh

KKM hari ini melaporkan angka jangkitan kembali melepasi 800.

PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan angka jangkitan baharu kembali melepasi 800, dengan majoriti kes penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 847 kes jangkitan baharu dilaporkan hari ini, dengan 842 daripadanya penularan tempatan.

Hisham berkata, Sabah terus mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 578 kes, hasil usaha lebih ramai petugas kesihatan yang digerakkan untuk menjalankan saringan di lapangan.

“Selain Sabah, Selangor turut mencatatkan kes ke-2 tertinggi iaitu 132 kes diikuti Negeri Sembilan (38) termasuk 33 pelajar tahfiz di Senawang, Labuan (29) dan Kuala Lumpur (23),” katanya pada sidang media hari ini.

Mengenai kes jangkitan yang pulang dari Sabah, beliau berkata, sebanyak 11 kes dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kes yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept sebanyak 465 kes.

Memperincikan kes import hari ini, katanya, 5 kes import berkenaan dilaporkan di Selangor membabitkan 4 kes dari India dan 1 kes dari Amerika Syarikat.

Sehingga kini, sebanyak 8,183 pesakit sedang dirawat menjadikan jumlah kumulatif kes positif setakat ini sebanyak 23,804 kes.

Sementara itu, sebanyak 90 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di mana 29 kes memerlukan bantuan pernafasan manakala 486 kes pulih.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan 5 kes kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 204 kes,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.