
Rekod tertinggi terdahulu ialah 691 kes baru yang dicatatkan pada 6 Okt lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua kes baru itu ialah jangkitan tempatan yang membabitkan 745 warganegara dan 124 warga asing.
Katanya, Sabah mencatatkan kes terbanyak, iaitu 451 kes, diikuti Pulau Pinang (189), Selangor (159), Kedah (38) dan Kuala Lumpur (15).
Sarawak dan Perak masing-masing mencatatkan 4 kes, Terengganu (3), Johor (2), Putrajaya (2), Negeri Sembilan (1) dan Melaka (1), kebanyakannya dikesan daripada kluster aktif atau saringan kontak rapat.
Beliau berkata, 90% kes baru itu dilaporkan dari kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan penjara.
Katanya, 224 kes baru itu datang dari kluster Tembok, Penjara Reman dan Seberang Perai, yang terasing daripada masyarakat.
“Daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, 4 kes ialah pengunjung pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept lalu ialah 441 kes,” katanya dalam sidang media hari ini.
Di Sabah, 234 kes membabitkan saringan kontak rapat, 54 kes kluster aktif, 2 kes kluster baru Teduh dan 161 kes saringan Covid-19.
Di Pulau Pinang, 186 kes daripada kluster aktif dan 3 kes saringan kontak rapat.
Selangor pula melaporkan 89 kes kluster aktif, 31 kes kluster baru (Keladi dan Menara), 23 kes saringan kontak rapat serta 2 kes saringan Covid-19.
Kedah mencatatkan 37 kes kluster Tembok dan satu kes kluster Bah Lunas.
Kuala Lumpur merekodkan 7 kes saringan kontak rapat, 7 kes kluster baru (Sentral dan Menara) serta satu kes saringan bergejala.
Seramai 302 pesakit sembuh hari ini, menjadikan keseluruhan 12,561 atau 64% kes pulih daripada 19,627 pesakit Covid-19 setakat ini.
Jumlah kematian meningkat kepada 180 kes, selepas 4 kematian dilaporkan hari ini membabitkan 3 warganegara, iaitu 2 lelaki dan seorang wanita berusia 71 hingga 88 tahun serta seorang lelaki bukan warganegara berusia 53 tahun.
Semua kematian itu berlaku di Sabah, dengan 2 daripada pesakit itu mempunyai sejarah penyakit kronik.
Seramai 6,886 pesakit Covid-19 masih dirawat di seluruh negara, dengan 30 daripada 91 orang yang ditempatkan di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.