
Hadi berkata, beliau sendiri tidak layak untuk memegang jawatan penting itu kerana faktor umur dan kesihatan.
“PAS sendiri akan memilih pemimpin, dan dalam al-Quran kata pilih pemimpin berilmu, integriti dan sihat tubuh badan.
“Orang macam saya tak layak dah. Kita pilih paling sihat yang bawah 70 jadi perdana menteri, biarlah orang yang kuat.
“Saya umur 78, yang bawah 70 itu gagah dan kuat lagi,” katanya semasa sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS ke-71 di Kompleks PAS Kedah.
Bagaimanapun, kata Hadi, soal siapa individu yang akan mengetuai kerajaan sekiranya gabungan pembangkang memenangi pilihan raya akan dibincangkan bersama rakan dalam PN.
Menurut beliau, calon perdana menteri yang bakal dipilih oleh gabungan itu juga perlu memimpin secara kolektif, bukannya secara diktator.
Katanya, PAS mempunyai ramai pemimpin yang layak, namun mereka tidak menonjolkan diri kerana menganggap ia satu amanah yang berat untuk digalas.
Kenyataan Hadi menyusul selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada 7 Julai lalu menamakan Presidennya Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11 dari parti itu untuk PRU16.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh kini berusia 78 tahun.
Majlis Tertinggi PN akan membincangkan isu calon perdana menteri itu, minggu depan.