Saya mungkin undi calon anti-PSI pada PRN, kata penduduk P Pinang

Saya mungkin undi calon anti-PSI pada PRN, kata penduduk P Pinang

Ada pengundi Pulau Pinang yang berpendapat, kelulusan projek itu 'mendukacitakan', manakala yang lain percaya ia akan membawa manfaat dari segi peluang pekerjaan dan tarikan pelancong.

Penduduk yang menentang projek itu berkata ia akan mengubah pemandangan pantai selatan secara drastik.
GEORGE TOWN:
Seorang penduduk di pantai selatan Pulau Pinang, yang kecewa dengan pembangunan projek tebus guna tanah besar-besaran di kawasan berkenaan berkata, kelulusan diberikan oleh kerajaan persekutuan bagi projek itu mungkin menjadi penentu calon mana yang akan diundi pada PRN nanti.

Nursyafiqah Salihin, 25, yang berasal dari Teluk Kumbar berkata, berita mengenai kelulusan projek itu amat mendukacitakan. Projek itu akan mengubah pemandangan pantai selatan secara drastik, tambahnya.

Pulau pertama daripada tiga pulau hasil projek itu akan ditebus guna di Permatang Damar Laut, selatan Lapangan Terbang Pulau Pinang. Pulau-pulau lain akan diwujudkan di perairan Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

“Kelulusan projek itu akan mempengaruhi cara saya mengundi pada PRN kerana saya mungkin mengundi calon yang menentang projek itu,” katanya.

Enam negeri, termasuk Pulau Pinang, akan mengadakan PRN dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Kelulusan kerajaan persekutuan bagi projek tebus guna bernilai RM10 bilion itu diumumkan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada Rabu.

Beliau berkata, kelulusan tersebut bersyarat, dengan pematuhan 71 syarat dalam pelan pengurusan alam sekitar yang terperinci.

Penduduk lain di Permatang Damar Laut bagaimanapun menyokong projek itu.

T Ramasamy, 76, memberitahu FMT, projek itu akan membawa pembangunan yang amat diperlukan.

“Mereka yang menentang projek itu hanyalah anti-pembangunan,” kata penduduk lama di Taman Permatang Damar Laut itu

Tambahnya, projek itu akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bagi golongan belia di kawasan itu.

Ditanya tentang bantahan nelayan terhadap projek itu, Ramasamy berkata, ahli keluarga mereka mungkin akhirnya akan mencari pekerjaan dalam projek itu kerana mereka tidak mahu bekerja sebagai nelayan.

Seorang lagi penduduk Permatang Damar Laut yang mahu dikenali sebagai Mohamad, berusia dalam lingkungan 60-an, bersetuju bahawa mereka yang menentang projek itu sebenarnya menentang pembangunan kawasan berkenaan.

Katanya, bantahan nelayan terhadap Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) itu mengingatkannya tentang bantahan masyarakat terhadap pembinaan Jambatan Pulau Pinang pertama pada 1980-an.

“Mereka membantah projek itu apabila (perdana menteri ketika itu) Dr Mahathir Mohamad mencadangkannya kerana menurut mereka, ia akan mengurangkan hasil tangkapan. Tetapi sektor perikanan masih berkembang maju di tapak jambatan.

“Nelayan ini sebenarnya akan mendapat manfaat daripada projek (PSI) kerana peluang pekerjaan datang bersamanya,” katanya sambil menambah, projek itu dipolitikkan oleh mereka yang menentang Pakatan Harapan (PH).

Seorang lagi penduduk tempatan, pelajar kolej Emysha Kartika Akhmal Hisham, 21, percaya projek itu akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya bagi golongan belia.

Beliau berkata, pembangunan limpahan daripada projek itu akan membantu menjadikan persekitaran Permatang Damar Laut “lebih menarik”.

“Bagaimanapun, saya bimbang dengan kemungkinan pencemaran kelodak, bunyi dan udara daripada projek itu.

“Oleh itu, saya berharap Jabatan Alam Sekitar akan memantau projek ini,” katanya.

Pengusaha kilang Yuz Razali bagaimanapun menzahirkan kebimbangan bahawa projek besar-besaran itu akan menjejaskan aktiviti harian nelayan di kawasan itu.

“Kelodak yang akan dihanyutkan ke pantai akan menyukarkan nelayan untuk mengeluarkan dan menyimpan bot mereka.

“Tambahan, mereka perlu pergi lebih jauh ke bahagian laut yang lebih dalam untuk menangkap ikan,” kata pemuda berusia 36 tahun itu.

Projek tebus guna bernilai RM10 bilion itu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion menerusi tebus guna tiga pulau, meliputi kawasan seluas 1,620 hektar antara Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.