Ahli politik diingat jangan jadikan masjid, surau N9 pentas ceramah politik

Ahli politik diingat jangan jadikan masjid, surau N9 pentas ceramah politik

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata ia bagi memastikan institusi itu tidak disalah guna selain menjaga keharmoniannya.

Aminuddin Harun berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan sudah lama mengeluarkan larangan ke atas ahli politik daripada menggunakan masjid sebagai ‘tapak’ ceramah.
SEREMBAN:
Kerajaan Negeri Sembilan mengingatkan ahli politik tidak menjadikan masjid dan surau di negeri itu sebagai pentas berceramah politik, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.

Beliau berkata, ia bagi memastikan institusi berkenaan tidak disalah guna selain menjaga keharmoniannya, sekali gus memelihara kesucian agama Islam.

Katanya, larangan ke atas ahli politik atau wakil rakyat daripada menggunakan masjid sebagai “tapak” ceramah sudah lama dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

“Kita ingatkan mereka yang datang berceramah ke sini, tidak boleh berceramah politik, kena hati-hati, kita tak nak perkara ini merosakkan institusi masjid. Kalau nak berceramah, buatlah ceramah umum di luar…janganlah kacau masjid dan surau.

“Wakil rakyat kita tak ada ceramah di masjid, kita hormat, dulu ada wakil rakyat yang baca khutbah tapi kita dah maklumkan tak dibenarkan dia baca khutbah. Kita tak mahu ada ucapan politik dalam masjid, itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada sekatan bagi penceramah tertentu untuk mengadakan ceramah di negeri ini setakat ini.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata semua pihak perlu menghormati dan akur arahan pihak berkuasa agama negeri mengenai larangan ahli politik menyampaikan kuliah atau ceramah politik di masjid dan surau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.