
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Mahathir berkata, Hakim Rozana Ali Yusoff menetapkan 11 hingga 14 Sept ini untuk perbicaraan selain menetapkan tarikh akhir bagi pengurusan kes pada 14 Julai.
“Pihaknya akan mengemukakan dua saksi iaitu Mahathir dan anaknya Mukhriz untuk memberikan keterangan pada perbicaraan kes itu,” kata Mior Nor Haidir ketika dihubungi selepas pengurusan kes yang berlangsung melalui sidang video hari ini.
Prosiding itu turut disertai peguam Mohd Shahril Madisa, mewakili presiden Umno itu.
Difahamkan, seramai tiga orang saksi termasuk Zahid akan memberikan keterangan pada perbicaraan tersebut.
Pada 20 Julai tahun lepas, Mahathir, 97, memfailkan saman itu dengan menamakan Zahid, 70, sebagai defendan tunggal.
Mahathir dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Tambahnya, kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.
Sementara itu, Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos tahun lepas, menafikan kenyataan itu berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.