The Five Ringgit Initiative, BRADA – ganding bahu bela nasib anak seni

The Five Ringgit Initiative, BRADA – ganding bahu bela nasib anak seni

Pemuzik yang bekerja di kelab, pub, hotel dan restoran hilang mata pencarian akibat perintah sekatan perjalanan berikutan penularan Covid-19.

Gerard Singh, pengasas ‘The Five Ringgit Initiative’. (Gambar Gerard Singh)
PETALING JAYA:
‘The Five Ringgit Initiative’ adalah gagasan yang dicetuskan oleh penyanyi-penulis lirik Gerard Singh bersama BRADA, sebuah badan NGO sebagai wadah untuk membantu rakan-rakan pemuzik yang terkesan teruk akibat wabak Covid-19.

“Tiba-tiba saja idea ini datang – saya ingin mencuba sesuatu yang baru untuk melihat sejauh mana ia berjaya,” kata Gerard.

“Apabila saya menghubungi Malik dari BRADA dan bertanya sama ada dia mempunyai senarai pemuzik yang menghadapi masalah?

“Malik menjawab, dia mempunyai senarai nama yang panjang membabitkan 65 individu,” ujarnya lagi

Semasa membuat persembahan secara penstriman langsung, lima nama dengan butiran akaun bank masing-masing dipaparkan di skrin. Tiada siapa diwajibkan memberi apa-apa.

Sesiapa sahaja dialu-alukan untuk menikmati muzik kami secara percuma. Namun, sekiranya mereka mahu menyumbang, mereka boleh berikan apa sahaja yang mereka mampu, walaupun seringgit untuk setiap lima akaun itu.

Lima nama dan butiran akaun bank masing-masing akan dipaparkan semasa setiap persembahan ‘live streaming’. (Gambar Gerard Singh)

“Jika seratus orang menyumbang, setiap orang masih akan menghabiskan maksimum lima ringgit saja, tetapi akan ada RM100 dalam setiap akaun tersebut,” katanya kepada FMT menceritakan bagaimana ‘The Five Ringgit Initiative’ dicetuskan.

Untuk melakukan lima transaksi mungkin nampak agak membebankan, tetapi menurut Gerard mereka tidak mahu menguruskan wang kerana mahukan urusan yang sepenuhnya telus.

“Orang ramai akhirnya menerima idea tersebut dan kami berjaya menjana sejumlah wang untuk para pemuzik,” jelasnya.

Sejak itu, beberapa pemuzik lain – Vishnu Shakthi, Sherman Tan, Soon King dan Colin Jansen menawarkan diri untuk menyertai Gerard dan Malik dalam inisiatif itu.

Sherman Tan, Vishnu Shakthi, Soon King dan Colin Jansen sejak itu menyertai ‘The Five Ringgit Initiative’. (Gambar Malik)

“Ia agak berjaya, dan sejak itu kami telah berjaya membantu semua 65 pemuzik yang tersenarai.

“Buat masa ini kami sedang berehat sementara menanti masa untuk bergabung kembali. Malik dan saya akan mengumpulkan senarai nama lain, atau mungkin kita boleh bekerjasama dengan badan amal.

“Ia tidak perlu dihad hanya untuk pemuzik – anda membaca tentang begitu ramai orang yang berdepan masalah akibat pandemik. Kami akan meminta maklumat orang ramai jika mereka mengetahui ada insan lain yang memerlukan bantuan.”

“Ramai bertanya kepada kami bila kita akan memulakan pusingan berikutnya,” katanya teruja.

Pemuzik yang berminat untuk menyumbang ke arah kebaikan bersama boleh menghubungi Gerard atau Malik.

Anggota jawatankuasa BRADA. (Gambar Malik)

BRADA adalah sebuah badan sosial yang diwujudkan untuk membantu pemuzik yang berhadapan dengan waktu sukar akibat Covid-19.

“Sebaik mereka menutup semua bar, kelab, pub, hotel, dan restoran tempat kami mencari rezeki, hidup kami menjadi terjejas,” kata Malik Abdullah, pengasas BRADA.

“Pada ketika itu, tidak ada siapa yang tahu apa yang harus dilakukan. Persatuan menghabiskan terlalu banyak masa memenuhi keperluan seharian pemuzik kerana mereka sibuk berunding dengan kerajaan berhubung hal-ehwal dasar.

“BRADA adalah tindak balas segera terhadap situasi ini,” tambah Malik, yang bekerja sebagai keyboardis sepenuh masa sebelum wabak itu.

“Sejumlah besar pemuzik berkumpul dan memutuskan bahawa kami perlu melakukan sesuatu bagi membolehkan kami memperoleh pendapatan harian.”

Acara Bazaria Muzika Busk and Food anjuran BRADA di USJ 25. (Gambar Malik)

Selain membantu para pemuzik dengan pengetahuan perniagaan, BRADA sejak itu menganjurkan lapan bazar makanan yang turut menampilkan persembahan muzik.

Namun, berikutan sekatan pergerakan semasa, mereka kini beroperasi melalui laman Facebook Bazaria Muzika mereka, di mana pelbagai makanan, produk dan perkhidmatan dari pemuzik ditawarkan.

“Malangnya, kami tidak dapat mengumpul dana yang cukup untuk melancarkan laman web kami.

“Kami telah mendaftarkan domain di ‘brada.org.my,” tetapi berdepan beberapa masalah untuk mengumpulkan wang bagi membina laman web e-dagang yang lengkap,” katanya.

Acara basking di Arcoris Mont Kiara yang dianjurkan oleh BRADA. (Gambar Malik)

Jelasnya, mereka telah berusaha mengatur kempen penjanaan awam (crowdfunding) melalui Sedunia pada Disember lalu, namun hanya berjaya mendapatkan RM 1,500 daripada RM10,000 yang diminta.

BRADA turut membantu pemuzik mempromosikan persembahan secara penstriman langsung mereka melalui laman Facebook BRADALive.

“Jika di bar, penonton akan memasukkan sesuatu ke dalam balang tip. Tapi sekarang, mereka membuka aplikasi perbankan mudah alih dan melakukan transaksi.

“Inilah cara baharu untuk melakukan sesuatu – ramai orang belum terbiasa,” kata Malik, sambil berharap akan ada kaedah baharu untuk memberi tip kepada pemuzik dalam talian.

Acara basking di The Curve yang dianjurkan oleh BRADA. (Gambar Malik)

Menurutnya lagi, sebahagian pemuzik mengambil keputusan untuk berhenti bermain, memilih sama ada bekerja di tapak pembinaan dan penghantaran makanan.

“Tetapi ia sangat merugikan, kerana mereka telah menghabiskan banyak masa dan cinta terhadap bidang seni,” ujarnya.

Walaupun begitu, Malik tetap berharap masa depan industri seni akan bersinar semula, terutamanya ketika beberapa negara di dunia, telah mula membenarkan acara gig dan konsert dianjurkan sepenuhnya.

Anda boleh menyokong pemuzik tempatan kita laman Facebook The Five Ringgit Initiative, Bazaria Muzika dan BRADALive .

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.