
Bukit Mertajam: Dari jauh lagi sudah kedengaran alunan lagu yang dimainkan di sebuah kedai kecil di Market Road.
Ia adalah salah satu lagu popular kumpulan Bee Gees berjudul ‘Stayin’ Alive’ yang pernah ikonik satu ketika dulu.
Judul lagu itu seolah-olah menggambarkan kedai berkenaan yang masih kukuh berdiri biarpun sudah 46 tahun beroperasi.

“Saya membuka kedai ini pada 1975 dan ketika itu jualan amat menggalakkan hingga ada pelanggan masuk dan terus membeli lima album,” kata Cheong Yew Wing, pemilik Siau Music Centre.
Itu adalah suasana satu ketika dulu ketika peminat muzik masih ghairah mencari album terbaru untuk dijadikan sebagai koleksi dari kedai muzik berkenaan.

“Berbanding cakera padat (CD), kami menjual pita kaset dan katrij. Apabila muzik berentak disko dimainkan, pelanggan juga akan turut menari mengikut rentak,” kata Cheong yang mengimbau kenangan menyeronokkan itu yang menjadi sebab mengapa dia ingin menceburi bidang perniagaan muzik.
“Pekerjaan ini agak senang kerana tidak banyak persediaan perlu dilakukan. Saya cuma perlu mempamerkan album pada rak dan sedia untuk menjualnya,” katanya.

Ketika lagu klasik 70-an seperti Rocketman dan Hotel California dialunkan, seluruh kedainya akan bergema dengan muzik Lagenda itu dan pelanggan akan memenuhi ruang kedai.
Cheong teringat kembali ketika itu perkhidmatan penstriman dan cakera padat masih lagi belum wujud.
Dia kemudiannya menunjukkan cap Siau Music Centre yang tertulis perkataan ‘Gila Music’ sambil menjelaskan ‘siau’ adalah bermaksud gila.
Sesuai dengan nama Siau Music Centre, kedai itu sememangnya membuatkan penduduk di Bukit Mertajam menjadi gila terhadap muzik.

“Ketika filem Titanic mula dikeluarkan, orang ramai menjadi ‘gila’ dan saya berjaya menjual lebih 5,000 salinan album Celine Dion.
“Mereka tidak sebut Celine Dion tetapi mencari lagu Titanic,” katanya sambil ketawa.

Dia turut mengimbau apabila kedainya dalam keadaan sibuk, Cheong tidak mampu untuk melayan kesemua pelanggan dan terpaksa menggunakan khidmat 11 pembantu kerana peminat muzik datang dari seluruh Bukit Mertajam, Seberang Perai dan Padang Serai.
“Lagu dendangan Whitney Houston, ‘I Will Always Love You’ adalah satu lagi lagu popular dan selepas filem Saturday Night Fever keluar, orang ramai juga tergila-gilakan Bee Gees,” kata Cheong.

Pelanggan Siau Music Centre terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pelanggannya sering tertarik dengan koleksi genre muzik yang ada untuk setiap bangsa dan peringkat usia.
Cheong mempunyai semua koleksi lagu termasuk klasik Melayu dari zaman 70-an, lagu “country”, lagu popular daripada Loong Piau Piau malah lagu terbaharu masa kini turut dimilikinya.

“Antara 70-an dan 80-an, kumpulan di Malaysia seperti Alley Cats, Sweet September dan Wings amat popular dan album Wings mendapat jualan menggalakkan,” katanya.
Kini, keadaan di kedainya agak berbeza apabila ia sunyi sepi dari kehadiran pelanggan.
Kebiasaannya, ia hanya dikunjungi oleh pelanggan yang lebih berusia untuk mencari cakera padat karaoke.

“Mereka yang berusia 30 hingga 50 tahun masih datang mencari cakera padat apabila melihat album yang dikenali selain mengingatkan mereka ketika zaman muda dan kanak-kanak.
“Kini, anda sukar untuk bertahan dalam perniagaan ini. Namun, buat masa ini saya tidak mengejar wang tetapi ingin memanfaatkan masa yang ada.
“Saya tidak kisah walaupun perniagaan agak perlahan kerana kedai ini memberi ruang untuk saya rehat sambil mendengar lagu selain dapat bersembang dan minum bersama rakan,” katanya.

Jika anda berkunjung ke Siau Music Centre, bersedialah untuk dihiburkan dengan pelbagai lagu sambil ditemani Cheong yang peramah dan turut menyediakan ruang minum khas untuk pelanggan.
Anda boleh menikmati pelbagai jenis minuman termasuk teh cina, Milo, teh bunga serta minuman ringan sambil mendengar lagu.
Jika teringin sesuatu yang sejuk pula, anda hanya perlu mencari kedai minuman milik abang Cheong yang beroperasi di Bukit Mertajam sejak 1967.
Selepas dihiburkan dengan muzik di Siau Music Centre, anda boleh menghilangkan rasa dahaga di kedai minuman tersebut yang menjadi tarikan di situ.
Siau Music Centre
70, Jalan Pasar
14000 Bukit Mertajam
Pulau Pinang
Waktu Operasi: 10.30 pagi – 7 petang (setiap hari)
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]