KJ boleh saing Sanusi di bumi Kedah

KJ boleh saing Sanusi di bumi Kedah

Bekas ketua Pemuda Umno itu juga popular, malah undi masyarakat bukan Melayu mungkin memihak kepadanya.

tajuddin rasdi

Sesetengah penganalisis berpendapat bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, bukanlah calon ideal untuk bertanding di Kedah pada PRU16.

Mereka berhujah bahawa Khairy tidak secocok dengan politik ‘kedai kopi’ di Kedah, di mana pengundi cenderung skeptikal akan kecenderungan progresif yang didukung Khairy, kecenderungan sama yang memberikan beliau daya penarik yang kuat.

Saya mempunyai pandangan berbeza. Saya percaya Khairy mampu memberi saingan sengit kepada menteri besar Kedah yang sangat popular, Sanusi Nor.

Pertama sekali, politik adalah soal populariti. Lazimnya, dalam peraduan populariti, isu-isu penting sering diketepikan. Jumlah ‘likes’ di media sosial mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding, misalnya, hujah bernas apabila mengupas sesuatu perkara.

Malangnya, politik di Semenanjung masih berkisar tentang kaum, agama, dan konvoi motosikal — sesuatu yang terpaksa kita telan dengan rasa gundah.

Dalam konteks ini, Sanusi pertaruhan yang selamat di peti undi. Beliau bermain bola sepak dengan rakyat biasa dan bergaul dengan orang ramai di warung-warung.

Keberanian dan kenyataannya yang kasar sering menghiasi dada akhbar, namun beliau juga boleh menikus apabila ditegur Istana.

Sanusi juga seorang ahli politik yang licik dan pintar. Sukar untuk menandingi gayanya. Saya tidak mengenali ahli politik lain yang begitu dominan dalam peraduan populariti.

Muncul pula Khairy, yang memiliki daya tarikan melangkaui masyarakat Melayu.

Malah, berbeza dengan Sanusi, Khairy tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati orang bukan Melayu mutakhir ini; sindiran pedas beliau kebanyakannya ditujukan pada seteru Umno.

Beliau juga meraih “markah bonus” kerana secara terbuka tidak bersetuju dengan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, apabila gelagatnya mengguris hati pengundi bukan Melayu.

Podcast Keluar Sekejap milik Khairy, yang dilancarkan selepas dipecat Umno, turut melonjakkan populariti beliau dan menjenamakan semula dirinya sebagai seorang negarawan. Malah Ong Kian Ming dari DAP turut memujinya.

Ringkasnya, Khairy bukan sahaja popular — beliau berkemungkinan besar mampu memenangi hati pengundi bukan Melayu, kelompok yang boleh menjadi penentu sekiranya undi Melayu terpecah.

Jenama ‘Khairy’ juga memberinya kelebihan berbanding Sanusi dalam kalangan pengundi muda, yang lebih cenderung memilih calon yang ‘berisi’ berbanding calon yang kadangkala seakan badut.

Pengundi tua mungkin menggemari gaya politik Sanusi, namun Khairy masih mampu memberi saingan. Lagipun, beliau kini berada dalam usia 50-an. Khairy hanya perlu lebih kerap mengunjungi surau, masjid, dan kedai kopi.

Menyentuh soal pengundi Muslim pula, kelompok ini sama ada berjiwa progresif-wasatiyah atau konservatif. Dalam hal ini, Sanusi dan Khairy kelihatan setara, kerana pengundi akan memilih calon yang prinsip agamanya selari dengan mereka.

Himpunkan faktor-faktor ini dengan jentera Umno dan inisiatif ‘Rumah Bangsa’ parti itu, Sanusi mungkin akhirnya terpaksa mengemas barang-barang peribadi di pejabat menteri besar.

Namun, persoalan lebih besar adalah sama ada Umno pimpinan Zahid Hamidi akan membenarkan Khairy mencabar Sanusi, langkah yang sudah tentu akan melonjak kedudukan politiknya.

Bagaimana jika beliau muncul sebagai penumbang gergasi?

Umno tidak boleh mengabaikan populariti Khairy (atau gagal memanfaatkannya), tetapi saf kepimpinan sedia ada mungkin bimbang Khairy akan menjadi lebih kuat, kerana ini akan mendorongnya untuk mencabar jawatan tertinggi parti.

Salah satu cara untuk menjinakkan Khairy adalah dengan memberinya kerusi yang mustahil untuk dimenangi — seperti yang dilakukan Umno sebelum ini dengan meletakkan beliau di Sungai Buloh pada pilihan raya lalu.

Khairy tewas kepada R Ramanan dari PKR dengan majoriti 2,693 undi.

Meskipun begitu, pertembungan Khairy-Sanusi akan menjadi situasi menang-menang bagi kepimpinan Umno.

Jika Khairy gagal, mereka boleh berlepas tangan dan berkata mereka telah memberinya peluang tetapi beliau mensia-siakannya.

Jika Khairy menang, kepimpinan Umno akan kelihatan seperti pencatur yang bijak dan boleh bermegah.

Walaupun saya percaya Khairy mampu memberi saingan kepada Sanusi, tidak dapat dinafikan bahawa menewaskan pengarah pilihan raya PAS itu suatu tugas yang amat sukar.

Namun, sejarah membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil.

Saifuddin Nasution Ismail dari PKR, yang ketika itu calon Barisan Alternatif, menewaskan S Anthonysamy dari Barisan Nasional dengan majoriti 530 undi dalam PRK Lunas pada 2000.

Ia merupakan kemenangan bersejarah yang mengejutkan, memandangkan BN ketika itu dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Keajaiban pernah berlaku di Malaysia, dan ia boleh berlaku sekali lagi dengan Khairy di Kedah.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.