
Kata sejarawan terkemuka mendiang Khoo Kay Kim, British buat kesilapan apabila mula-mula datang ke tanahair ini terus menyatakan orang Melayu daripada dulu lagi adalah petani. “Bukan,” kata Khoo. Orang Melayu menurut mendiang, “adalah pedagang. Mereka duduk di kawasan pantai”.
Kata mendiang lagi, “pada tahun 1885 orang New York sudah kenal orang Melayu. Mereka panggil orang Melayu sea nomads”. Cukup setakat ini buat sementara. Apa yang Khoo kata seterusnya akan dicerita sebentar lagi.
Apa yang dicatat adalah sedutan satu wawancara dengan mendiang Khoo, yang videonya saya ulang tonton minggu lalu. Ia mengenai kemahiran serta kehebatan orang Melayu dalam aktiviti maritim. Yang berminat sila tonton video itu di platform media sosial.
Carian Google pula memberitahu orang Melayu pertama mengelilingi dunia ialah orang Melaka yang dikenali sebagai ‘Panglima Awang’ (mungkin ramai sudah tahu tetapi saya beri konteks penulisan ini). Oleh kerana kulitnya dikatakan agak gelap beliau dipanggil ‘Panglima Awang Hitam’. Tetapi ada juga yang berpendapat nama ‘Awang’ lazimnya dikatakan dengan Pantai Timur dan oleh kerana si pelaut yang dimaksudkan asal Melaka maka kemungkinan besar nama sebenar ialah ‘Andika’. Sesuai dengan nama orang Melaka.
Dalam catatan Eropah, Awang dikenali sebagai ‘Enrique of Malacca’ kerana bertemu pelayar Portugis, Ferdinand Magellan, setelah Portugis takluk Melaka pada 1511. Ada juga maklumat mengatakan selain nama itu, Awang juga dipanggil sebagai ‘Henry the Black’.
Awang diambil Magellan sebagai kru. Awang juga bertindak sebagai jurubahasa dan pembantu si pelaut Portugis itu. Oleh kerana Magellan mengelilingi dunia merentasi Lautan Atlantik dan Pasifik dan kembali ke kepulauan Melayu, Awang sekali gus berlayar keliling dunia.
Saya juga tonton satu lagi video pasal pelayaran. Kali ini dihantar oleh sepupu saya. Mungkin anda juga ada menontonnya. Ia memaparkan seorang ahli akademik bidang syariah dan undang-undang. Beliau dikenali sebagai ‘Ustaz Amin’. Nama sebenar Muhammad bin Abdullah. Dalam video yang saya maksudkan Ustaz Amin bercakap mengenai kehebatan orang Melayu zaman lampau dalam ilmu maritim dan pelayaran. Mereka mahir baca bintang di langit, ombak, dan burung sebagai petunjuk navigasi. Mereka juga mahir teknologi perkapalan. Beliau juga bercakap mengenai pengembaraan orang Melayu menaiki kapal yang akhirnya menghubungkan mereka dengan orang Parsi dan Rom.
Ketika berhujah, beliau merujuk beberapa buku antaranya ‘The Legacy of Rome’, ‘History of Early Southeast Asia’ dan ‘Empire of the Winds’. Ustaz Amin ada juga bercakap mengenai orang (tentera?) Rom hebat di atas darat tetapi tidak di atas lautan, dan telah belajar dengan pihak yang mahir dalam ilmu pembuatan kapal sehingga Rom berjaya membina armada sendiri. Tidak disebut secara khusus Rom belajar buat kapal dengan siapa.
Kolumnis FMT A Kathirasen pada kolumnya 24 November lalu berbicara mengenai beberapa artikel yang ditulisnya untuk akhbar New Straits Times pada 2001, antaranya mengenai “how Malay seafarers undertook the arduous and mind-boggling 6,400km voyage by sailboat from the Malay Archipelago to Madagascar” suatu masa dahulu. Ini beliau tulis setelah mendapat maklumat di Madagascar.
Semua perenggan di atas memaparkan apa yang boleh disifatkan kehebatan dan kemahiran orang Melayu dalam bidang pelayaran dan ilmu maritim pada zaman lampau. Berbalik kepada sejarawan Khoo. Kata mendiang, “pada pertengahan abad ke-19 orang Melayu pergi ke kawasan dalaman”. Ini berikutan terciptanya kapal besar menggunakan wap atau steam yang dipanggil ‘kapal api’. Lantas orang Melayu pindah dari persisiran pantai ke pedalaman lalu tidak lagi berdekatan dengan pelayaran dan aktiviti maritim.
Namun, kata Khoo, orang Melayu mendiami pula kawasan sepanjang tebing sungai-sungai utama umpamanya Sungai Klang, dan mereka menjalankan aktiviti perniagaan menggunakan laluan sungai. Tetapi, kata Khoo, tercipta pula keretapi yang mengambil-alih pengangkutan daripada sistem yang menggunakan sungai. “Mulanya kapal api kemudian kereta api — dua-dua menghapuskan (cara) penghidupan orang Melayu.”
Membawa kepada ahli akademik — seorang professor bernama Solehah Yaacob. Beliau umum tahu tampil membuat ‘pendedahan’ yang rata-rata umum anggap ‘dakwaan’. Sama ada ‘pendedahan’ atau ‘dakwaan’ ramai yang angkat kening, tepuk dahi sambil ketawa. Namun apa yang didedah, beliau dakwa, adalah hasil kajian terperinci yang beliau lakukan. Beliau kata orang Melayu dahulukala boleh terbang. Melayu juga ajar orang Cina terbang. Memang far-fetched.
Ada ahli akademik yang kata boleh difahami Solehah mahu angkat kehebatan Melayu tetapi janganlah keterlaluan, keluar kenyataan di luar konteks, dan memesong fakta.
Tetapi katalah apa yang Soleha kata itu benar — harus ditanya mengapa Melayu sudah tidak boleh terbang? Mengapa tidak lagi pergi mengajar orang Cina terbang?
Mengapa juga tidak lagi ajar orang Rom buat kapal? Ini juga Solehah kata pernah orang Melayu lakukan. Ini mungkin (diulangi mungkin) ada benarnya jika mengambil kira apa yang dihuraikan pakar sejarah pada perenggan-perenggan terdahulu, umpamanya apa kata Ustaz Amin.
Jadi apa yang terjadi? Mengapa orang Melayu dulu cukup hebat sekarang tidak? What went wrong?
Kalau tahu di mana silap dan salahnya sehingga hilangnya kehebatan zaman silam maka mungkin boleh dapat semula kehebatan pada masa sekarang dan pastikan silap dan salah masa lalu itu tidak diulangi. Barulah orang Melayu hebat semula seperti zaman dulu dulu. Boleh ajar orang putih buat kapal, boleh ajar orang Cina terbang dan diri sendiri pun boleh terbang.
Selagi tidak tahu punca hilangnya kehebatan masa lalu, selagi itulah tidak dapat cipta kehebatan masa kini dan selagi itulah dakwaan Melayu boleh terbang, ajar Cina terbang akan diketawakan orang luar dan dalam negara, termasuk orang Melayu sendiri.
Sekarang ada orang (nakal?) berkata sinis orang Rom asal Rompin dan orang Mesir zaman purba dapat ilham dirikan pyramid setelah tengok bungkusan nasi lemak bentuk segi tiga.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.