Masa MCA-MIC acah-acah sudah berlalu

Masa MCA-MIC acah-acah sudah berlalu

Tiba masa MIC dan MCA buat keputusan bagi meneruskan kelangsungan politik dan pengaruh sama ada dalam atau di luar BN.

Mohsin Abdullah

Bukan saya tuduh MIC dan MCA kerap mengertak dan mengancam Umno untuk tinggalkan Barisan Nasional (BN). Tetapi, jika dua parti itu merasa susah membuat keputusan keluar gabungan – PAS sudah bertindak menyenangkan mereka capai keputusan.

Semalam, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata partinya terbuka bekerjasama dengan MIC dan MCA dalam Perikatan Nasional (PN). Namun, ia perlu dibincang lebih lanjut kepimpinan tertinggi gabungan itu, katanya.

‘Bincang lebih lanjut oleh kepimpinan tertinggi PN’ bagi saya ialah kenyataan ‘standard’ yang lazim dikeluarkan berhubung apa-apa keputusan bersabit apa jua isu.

Soal pokok ialah PAS selaku parti dominan dalam PN sedia jalin kerjasama dengan MIC dan MCA bukanlah sesuatu memeranjatkan. Sekarang, terpulanglah kepada dua parti tersebut untuk menyahut atau menyambut. Bola di kaki anda wahai MIC dan MCA!

Kenyataan terbuka mursyidul am PAS dibuat hanya empat hari selepas Presiden MIC SA Vigneswaran, berkata partinya sedia berunding dengan mana mana pihak demi masa depan MIC dan kesejahteraan masyarakat India.

Diulangi semasa berkata demikian kenyataan PAS belum dikeluarkan. Lantas, kata Vigneswaran (ketika itu) belum menerima jemputan daripada mana mana parti atau gabungan.

Kini, PAS sudah bersuara. Adakah retak akan jadi belah? Penjajaran baru akan terjadi? Meskipun apa disuarakan PAS bukan jemputan rasmi, tetapi kenyataan terbuka mengenai kesediaan bekerjasama dengan MIC dan MCA pada hemat saya is more than good enough. Apa lagi ia dikeluarkan oleh mursyidul am – yakni antara pemimpin tertinggi parti.

Semasa artikel ini ditulis belum ada reaksi kepimpinan MIC dan MCA.

Vigneswaran menyuarakan kenyataan itu susulan dakwaan dakwaan timbalannya, M Saravanan, yang merasa tertipu dengan yang kononnya MIC dijanjikan dapat kerusi Kabinet jika menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Saravanan juga mendakwa MIC tidak ada peranan dalam kerajaan dan membayangkan tidak perlu meneruskan kerjasama jika tidak diperlukan.

Memang MIC tidak diberi sebarang jawatan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Namun, perlu ditegaskan hanya Saravanan berjaya jadi Ahli Parlimen apabila menang kerusi Tapah pada PRU lalu. Vigneswaran sendiri bukan Ahli Parlimen setelah gagal di Parlimen Sungai Siput.

Apa pun kata kata Saravanan bahawa MIC merasa tidak dihargai mengundang reaksi keras Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi.

Kalau sudah tahu ditipu kenapa tidak lari. Kenapa terus hulur tengkuk? Itu membuktikan Saravanan sebenarnya mengugut. Nampak garang, tapi penakut.

Kenapa takut? Kerana MIC hanya ada satu Ahli Parlimen. Tidak cukup kuat untuk lari atau tarik sokongan. Beliau takut yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran, kata Puad seperti dilapor FMT tempoh hari.

Pedih dan kasar, tetapi ada benarnya kata-kata itu. Pada pandangan saya rungutan MIC khususnya Saravanan boleh difahami meskipun perlu diakui partinya dalam keadaan lemah. Tidak ada bargaining power.

Menurut Saravanan, MIC akan umum hala tuju parti pada Perhimpunan Agung Tahunan Oktober ini.

Pada pendapat saya apa yang dilakukan MIC tidaklah menyakiti BN (baca Umno) dan kerajaan perpaduan seperti dilakukan MCA.

Parti pimpinan Wee Ka Siong itu (malah beliau sendiri) berlagak bagai parti pembangkang – sering menyerang kerajaan atas alasan bertindak sebagai watchdog untuk memastikan ada check and balance.

Namun, umum tahu tindakan MCA lebih kerana tidak senang dengan kehadiran musuh ketat, DAP, yang selasa dalam kerajaan. Memang MCA sebahagian kerajaan tetapi seperti MIC, tidak dapat jawatan dalam Kabinet atau GLC. Wee tidak dilantik menteri.

Saya pernah beberapa kali menulis mengenai ragam MCA, sekali gus gus bersetuju dengan saranan pelbagai pihak ada eloknya MCA tinggalkan BN dan kerajaan.

Menurut laporan The Vibes 14 Jun lalu, memetik akhbar Singapura The Straits Times, Wee beritahu pemimpin tertinggi partinya untuk menggunakan mesyuarat bahagian yang bermula 1 Jun lalu, untuk mencadangkan sama ada MCA harus kekal bersama BN.

Bulan lalu menurut FMT, Wee berkata pula partinya tidak terburu-buru membuat keputusan mengenai masa depan dalam kerajaan perpaduan. ‘Tunggu mesyuarat agung tahunan’, katanya. Mesyuarat itu dikatakan akan diadakan akhir tahun.

Yang jelas MCA dan MIC ragu-ragu.

Ramai pemerhati dan penganalisis politik berpendapat kedua-dua tidak berani ambil langkah drastik. Saya setuju.

Berbalik kenyataan Murshidul Am PAS. PN memang mahu MCA dan MIC memberi mereka imej kepelbagaian dan membawa undi orang bukan Melayu walaupun tahu that’s a tall order.

Jika MIC dan MCA mampu berbuat demikian ia menjadi bonus buat PN. Jika gagal, PAS dan Bersatu akan go back to square one yakni bergantung kepada sokongan orang Melayu seperti sekarang. Mungkin tidak dapat perintah Malaysia tetapi kekal berkuasa di negeri dikuasai sekarang.

Bagi MIC dan MCA keputusan menyertai PAS dan Bersatu (yang semakin hari semakin PAS daripada PAS) akan hanya menjauhkan lagi orang bukan Melayu daripada mereka yang sememangnya sudah jauh.

Teringat kata-kata Puad Zarkashi yang saya petik untuk artikel saya mengenai MCA, 18 Jun lalu. ‘Jika MCA memilih untuk keluar (BN), maka ia benar-benar sedang menggali kuburnya sendiri’, katanya. Tentunya, kata-kata itu boleh juga Puad tujukan kepada MIC.

Pada hemat saya masa sudah tiba untuk MIC dan MCA buat keputusan. Nak kekal buat cara nak kekal. Nak keluar elok keluar. Jangan acah-acah.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.